[Cerita Mdm Yui] Buatan Orang Part I

Image result for buatan orang

Cerita asal dipetik dari Facebook rasmi Mdm Yui

#ceritasatumalam

#stockmerindingbacaanberteman – Buatan Orang

Assalamualaikum semua. Nama aku, Zaila. Aku seorang pekerja swasta, di utara Negara Kutub Salji. Dah bertahun aku menumpahkan bakti dan keringat di tempat kerja aku. Suasana kerja?

Tiada yang berubah dari tempat kerja lama aku. Oh ye, ini tempat kerja baru aku. Sebelum ini, aku ditukarkan dari cawangan lain kerana fitnah manusia juga. Aku pun malas mahu mengingat kembali. Cukup lah aku katakan, kerana hasad dengki. Dikatakan aku ini, tidak melakukan kerja. Tidak dapat memberikan sepenuh fokus dan komitmen. Sedangkan, segala usaha dalam bahagian aku. Akulah tonggaknya. Tetapi ditinggalkan buat aku hanya nama yang buruk-buruk sahaja.

Disebabkan hasad dengki manusia yang ingin maju dengan menindas orang lain itulah, aku akhirnya dipindahkan ke cawangan lain. Menambah perisanya, kes dan kisah aku yang kononnya tidak sepenuh daya usaha bekerja telah sampai terlebih dahulu ke telinga orang atasan di cawagan baru.

Jadi, kedatangan aku ke tempat bertugas, seolah telah pun membawa bersama imej ‘buruk’ aku yang sebenarnya telah diBURUKkan oleh seorang manusia yang mengaku kawan dan sahabat. Tetapi sebenarnya musuh dalam selimut.

Kejam!

Manusia di zaman sekarang ini, sesungguhnya NAMA yang lebih diharapkan, dari kerja-kerja yang seharusnya dilakukan. Dosa dan pahala itu tidak dapat dilihat barangkali, dan kerana itulah manusia-manusia sebegini sememangnya wujud.

Jawatan aku sebagai ketua bahagian sememangnya diinginkan, dan didambakan oleh setiap orang. Itu bukan kemahuan aku. Cuma, seiring dengan pengalaman lalu, ditambah pula dengan kejayaan-kejayaan manis yang pernah aku ciptakan, jadi HQ memilih aku untuk menyandang jawatan tersebut.

Sebenarnya, pernah aku cuba meletak jawatan. Ditolak pula oleh bahagian tertinggi di syarikat aku. Katanya sememangnya aku layak memikul jawatan tersebut. Harus bagaimana lagi agaknya aku perbuat?

Menjaga hati rakan, aku sanggup menolak jawatan ini. Bukan sekali. Malah berkali-kali, dan berkali-kali juga permohonan aku ditolak.

Satu yang tidak aku tinggalkan dalam hidup aku seharian adalah amalan zikir. Aku seringkali melazimi zikir-zikir sebagai pelindung, sebenarnya sebagai penenang hati. Jika aku berhadapan dengan masalah, atau rakan sejawatan dan pekerja yang selalu membuat hati rawan, dengan zikirlah aku sejukkan hati.

“Allah… Aduh…gatalnyaaaa…!!”

Di suatu petang. Ketika aku di dalam ruangan aku. Kubikel yang memisahkan aku dengan rakan sejawatan yang lainnya. Ketika itu, semua telah pun pulang. Tinggal aku seorang.

Aku tiba-tiba diserang rasa gatal dan pedih yang naik seiring. Satu perasaan yang aku tidak dapat kawal, sehingga aku ingin membuka semua pakaian aku. Atau menggosok belakang badan aku dengan sesuatu yang kasar.

Menggelitik jemari aku, menggagau ke tempat yang aku rasakan gatal merenyam. Puas aku cuba.

“Adeeh..tak sampai pulak. Ish, gatal..gatal..gatal!!”

Seolah ada ulat-ulat berjalan. Merayap, mengigit-gigit pula bahagian belakang badan aku. Cara apa hendak aku capai bahagian belakang ini. Aduhh!!

Kalau di rumah, boleh aku minta bantuan suami.

Sudahnya aku berdiri, membengkokkan sedikit kaki dan menggeselkan belakang badan, ke bucu kubikel meja aku. Aahh…lega sedikit. Tetapi, masih bersisa kegatalan yang aku rasakan.

Sambil-sambil menggeselkan belakang, aku mendapat idea baru.

‘Ah, bucu dinding. Sedap sikit. Lenguh kaki aku bengkok macam ni. Tak puas lagi ni. Gataaaaaal betul!!’

Bisik aku kepada hati, menghantar pesanan dari mata. Mencerlung aku memandang dinding yang agak berbucu. Sebenarnya ruang pintu yang memisahkan bahagian ‘pantry’.

“Aaaa….tak boleh tahan. Ya Allah. Benda apa ni? Gatal betul!” Ucap aku. Lalu pantas melangkah ke ruangan tersebut .

Dengan pakaian aku hari itu. Berbaju kurung moden, dan betudung bawal. Kepuasan aku menggesel belakang badan yang gatal tidak mencapai tahap maksima. Kerana kulit aku terlindung oleh lapisan pakaian yang dipakai.

Walaupun begitu. Tetap aku ‘garu’kan juga belakang badan aku ke penjuru dinding tersebut. Mujur yang lain telah pulang.
Aku pun hanya kerana TERPAKSA bekerja lebih masa.

Atas arahan bos aku memperbetulkan laporan yang telah aku siapkan semalam lagi. Sengaja dia mendera aku. Telah aku khabarkan untuk menghantarnya esok. Audit juga masih lambat.

Teringat aku perbualan dengan bos tadi. Waktu itu, bila aku menjeling ke pergelangan tangan kiri, jarum tepat berada di pukul 4.56 minit petang. Bersisa hanya 4 minit sebelum waktu pulang jam 5.00.

Sengaja aku dipanggil untuk menyemak semula? Sedangkan tugas menyemak sepatutnya dipikul oleh rakan aku yang bernama Sara.

Sudahlah aku yang menyiapkan laporan. Sedangkan tugas itu juga sebenarnya dibahu Sara. Entah apa lagi mahunya bos aku.

“Saya nak, awak semak laporan ini. Ada kesalahan yang tak sepatutnya dalam laporan tersebut.”

Agak tinggi suara Encik Faiz. Bukan main lagi dia menghempas laporan aku ke meja. Berbias angin dari hempasan tersebut memukul muka aku.

“Sabarlah hati…sabar…sabar.” Pujuk aku. Mengigil rasa jemari menahan amarah diperlakukan begitu. Sudahlah sengaja pintu biliknya tidak ditutup. Mahu memalukan aku kepada rakan sekerja dan pekerja di bawah seliaan aku kah?

“Ini yang HQ kata berpengalaman? Laporan macam ni senang pun teruk!??” Dihambur lagi kemarahan.

“Encik Faiz, maaf. Tugas laporan sepatutnya dibuat oleh Sara.” Aku cuba membetulkan.

“Eh, Sara?”

“Awak kaitkan orang? Saya suruh awak buat. Dan awak beritahu saya sepatutnya tugas Sara? Saya tak suka cara awak!” Tukas Encik Faiz.

Menggelegak rasa hati. Aku tahankan. Jangan menangis! Jangan menangis! Suka mereka nanti bila melihat kau menangis!

Aku masih menguatkan semangat, berhadapan dengan Encik Faiz petang itu.

“Saya nak, awak semak. Betulkan. Atas meja saya esok sebelum jam 9.00”

Encik Faiz sekali lagi mengingatkan.

“Baik, esok sebelum jam 9.00.” Aku menjawab lemah.

Pada aku tiada guna bertengkar dengan sejenis manusia yang mendahulukan ego, bongkak dan sombong berbanding akalnya. Terus aku basahi hati dengan zikir.

Baru aku rasakan suhu hendak menurun tahap kepanasannya, aku terkejut bila Encik Faiz membalas.

“Bukan 9.00 pagi esok. 9.00 malam ini.”

“Habis meeting, saya akan singgah office tengok laporan awak.”

Ya Allah! Bagai petir aku dengar ucapan seorang yang mungkinkah layak aku panggil manusia jika tidak berhati perut begitu?

“9.00 malam?” Aku soal semula.

“Ya. 9.00 malam ni.” Terus dia mengambil telefon dan tidak memandang aku.

Fahamlah aku, keluarlah maksudnya.

Aku pun mengambil kertas laporan yang tadinya dihempas kuat. Dengan langkah lemah aku melangkah. Kebetulan aku berselisih dengan Sara. Sebaik mata bertentang mata, hanya sengihan sinis dilemparkan kepada aku.

Sungguhlah, dalam dunia ini. Kadangkala syaitan begitu pandai bermuka-muka. Aku tenangkan hati aku.

Sara aku lihat ke arah meja Encik Faiz. Ermm..entahlah. Malas hendak aku membuat spekulasi. Aku lakukan sahaja kerja aku. Cuma, cara dan gerak gerinya membuatkan aku berfikir. Dia punca segala masalah di pundak ku ketika ini.

Sebaik duduk kembali di meja. Aku terus memulakan kerja.

‘Macamlah tiada hari esok!’ Membebel aku dalam hati. Sengaja mahu menyusahkan aku.

Lamunan perbualan aku dengan Encik Faiz dan jelingan Sara serta merta hilang bila aku tersedar, sudah agak lama aku menggeselkan belakang badan aku ke bucu dinding tersebut. Lenguh aku rasakan lutut berdiri begitu.

Aku segera kembali ke meja dan menyiapkan tugasan.

“Eh…tiada apa yang perlu aku betulkan? Ejaan, pun tiada yang “error”.” Terlepas gumaman.

Tak mengapa. Ubah cover, dan aku letakkan atas meja. Jam 7.25 petang sudah. Suami juga telah menelefon hampir 3 kali. Jenuh aku menjelaskan.

Sebaik laporan aku letakkan, aku pun mengemaskan meja. Aku susun barangan. Dan mematikan semua suiz, menutup pintu pejabat.

Di dalam kereta ketika itu, rasa gatal kembali menyerang.

“Salah makan ke?” Aku bertanya kepada diri sendiri.

“Pagi tadi makan roti bakar. Tengahari…makan… Eh, mana ada aku sempat makan. Tengahari tadi ada hal.” Berdecit mulut aku.

Takkan lah aku alahan kepada roti pula? Tidak pernah dalam sejarah. Serta merta menggeleng kepala aku.

Tidak semena-mena kegatalan memuncak aku rasakan di bahagian belakang. Pedih-pedih gatal. Aku geselkan sedikit badan ke seat kereta. Tidak juga mahu hilang.

Tidak dapat menahan rasa, aku memberhentikan kereta di bahu jalan. Aku selongkar bahagian sisi poket. Laci dan akhirnya di bawah kerusi. Tiada apa yang boleh membantu aku untuk dijadikan alat menggaru.

Tinggal aku terjumpa pembaris besi. Di celahan seat. Mungkin pembaris sekolah anak aku barangkali. Tiada masa hendak aku fikirkan. Aku sisipkan di celahan baju, dari leher atas menurun ke belakang.

Aku garukan bahagian belakang badan.
Ya Allah. Nikmatnya apabila tempat yang aku rasakan gatal-gatal pedih terkena hujung pembaris tersebut. Nyaman betul.

Seolah segunung emas berlonggok di hadapan mata aku rasakan.

Kruk! Kruk!kruk!

Tidak puas dengan hujung pembaris. Aku sendengkan sedikit. Menjadikan bucu pembaris yang menggaru kulit aku.

Allahu..sedapnya rasa. Hilang kegatalan. Tidak lama aku rasakan sedikit pedih.

Barulah aku tersedar. Lama juga aku berhenti dan menggaru belakang badan.

Aku meneruskan perjalanan. Sebaik tiba di rumah, aku menyantuni suami. Menceritakan segala yang berlaku. Tiba-tiba, suami menegur.

“Eh..belakang badan awak kenapa ni?”

Ucapnya seraya menyuruh aku membelakangi dirinya.

Aku tanpa banyak soal, mengubah haluan duduk.

“Peluh kot. Aku cakap. Saya mandi dulu lah.” Aku baru tersedar dari ledakan emosi sedih, terkilan, dengan tugasan di pejabat.

“Bukan..bukan peluh ni. Macam darah.” Ujar suami, sambil dia memeriksa belakang aku.

“Darah?” Aku berkerut dahi. Bercantum kening, cuba memintal memori. Aku ada terluka kah?

“Aah… Darah ni. Habis baju awak. Berbintik-bintik darah melekat.” Dengan kata-kata itu. Dibukanya zip yang ada dibelakang badan aku.

“Ya Allah…” Ucap suami.

Terkejut aku mendengarkan ucapan sebegitu.

“Kenapa bang? Ada apa?” Tanya aku bertalu-talu.

“Eh awak tanya saya? Ni saya nak tanya awak. Sejak bila belakang awak tumbuh kudis macam ni?”

“Aduhai, bukan satu aje tempat. Di belakang awak. Di belikat bahu.”

“Tapi teruk sikit di belakang ni. Ada yang bernanah. Berdarah ni kenapa?”

Tanya suami aku lagi. Sambil dia mengajak aku ke bilik air. Mencari peti kecemasan.

“Banyak ke bang. Ya Allah. Tadi gatal bukan main belakang tu. Baru tadi ni.”

Sudahnya aku pun menceritakan semua. Ditunjukan oleh suami aku belakang badan di cermin bilik air. Ya Allah, benar katanya. Bertompok-tompok seperti kudis. Ada matanya. Banyak!

Di satu-satu tempat, ada beberapa mata kudis. Seperti kudis buta. Bernanah. Berdarah juga. Aku pasti kerana aku garu tadi. Paling aku ingat. Pembaris besi!

Bila masanya aku berkudis sebegini. Bernanah lagi.

Selepas membersihkan diri. Aku dibawa oleh suami ke klinik. Di klinik, doktor membersihkan luka mata kudis yang terpecah dek garuan aku tadi. Sesudah itu, aku dibekalkan dengan krim sapu, dan ubat untuk dimakan.
Lebih memeranjatkan aku, kata doktor hanya alahan. Mungkin aku tidak tahan dengan beberapa jenis makanan. Setakat ini, diminta aku berhati-hati dengan makanan laut yang mungkin menyebabkan kegatalan. Aku angguk. Rasa gatal dan merenyam di belakang badan agak bersurut. Tetapi tidak hilang lagi.

“Alahan ke saya ni?” Aku memandang suami yang sedang memandu di sebelah.

“Ermm.. Entahlah. Selama saya kahwin dengan awak. Tak pernah pula awak macam ni. Paling teruk pun. Awal macam tumbuh bintat gelgata tu kan?” Suami aku juga mengutarakan apa yang bermain difikirannya.

Baru aku hendak menjawab balas bicara suami, mati terus aku rasakan kata-kata.

Sebaik aku menoleh. Terpandang di hujung mata, ada sosok seseorang di tempat duduk belakang kereta.

“Abaaaang….!!!” Menjerit dan menutup mata aku. Bila sosok itu. Yang ternyata sebentuk makhluk yang digelar,

PO*’:7NG!!!

Hitam bahagian mukanya. Bila aku menoleh hendak menjawab kata-kata suami, makhluk itu seolah menundukkan kepalanya ke hadapan. Hampir menyentuh seat pemandu kepalanya. Manalah tidak menjerit aku melihatnya!

Menggeletar aku.

Yang aku dengar. Suami melaungkan azan sekuatnya. Gegak gempita seketika dalam kereta. Ketika itu banyak kereta yang berselisih dengan kami, menyalakan lampu tinggi mereka. Ada juga yang membunyikan hon.

Kawasan perumahan aku dengan klinik bukannya jauh. Hanya kira-kira 10-15 minit sahaja. Dan kawasan itu, penghuninya padat. Ramai keluar masuk.

Tidak lama, dalam kereta kami berselerakan bau bangkai yang sangat busuk. Seperti ada seekor binatang yang mati lama di dalam kereta kami. Spontan aku menutup hidung!

Kuatnya bau yang menusuk. Suami membuka sedikit kuat penghawa dingin. Membuka juga sedikit ruang tingkap. Kononnya hendak membiarkan bau itu terlepas keluar. Aku tidak berani menoleh ke belakang.

Kedua tangan aku tekupkan ke pipi. Hanya bacaan ayatul qursi oleh suami aku dengari. Serentak dengan itu, aku turut mengikutinya.

Namun, dalam suara kami berdua. Ada terselit satu bunyi suara yang pelik dan tidak pernah aku dengari. Siapa di antara kami?

Adakah makhluk yang aku lihat duduk di belakang kereta kami tadi?

Tetap kepala aku hala ke hadapan. Tidak berani aku menoleh atau melihat cermin sisi. Dari jalan klinik, menuju ke rumah, suami sebaliknya membelok ke kedai mamak di seberang jalan sana.

Aku masih lagi mendengar, suara seperti menggumam di antara naik turun intonasi suara kami suami isteri.

Bunyinya sukar hendak aku tanggapi. Tetapi sedikit sebanyak, ada beberapa perkataan disebut-sebut.

Antaranya,

“Seru hamis, bernanah-nanah,
Hai hilang manis di wajah…bertukar jadi kudis sukar berubah…nanah..nanah…”

Antara yang aku dengari adalah ayat-ayat sebegitu, sebelum bertukar jadi jeritan yang nyaring dan menyakitkan telinga. Aku tekup telinga sekuatnya.

Sesampainya kami di kedai mamak, suami keluar diikuti oleh aku sendiri. Tidak berani aku berlama sendirian. MeNuju ke belakang kereta, suami cuba menunduk. Manalah tahu terlanggar sesuatu.

Bila suami melihat aku. Dia menggeleng kepala. Tahulah aku. Tiada apa-apa. Aku pula cuba mencuri pandang, menjeling ke tempat duduk belakang.

Kosong!

Tiada apa-apa. Sudahnya, untuk 5 minit suami membuka semua pintu kereta. Keempat-empatnya dibuka seluas mungkin. Ada yang lalu, dan bertanya. Dikatakan suami, ada lipas dalam kereta.

Malam itu, kami berhenti minum sebelum pulang ke rumah. Kata suami, elok singgah di mana-mana terlebih dahulu jika ada rasa tidak sedap hati atau gangguan sebagaimana yang kami alami.

Ketika minum, aku nyatakan kepada suami akan suara yang yang aku dengar. Suami turut mengangguk. Cuma bezanya, suami tidak dapat menangkap penuh perkataan yang disebut dan diratibkan. Hanya mendengarnya seperti gumaman sahaja. Kelibat yang aku nampak juga, rupanya dilihat oleh suami. Itulah diazankannya…

Aku sudah mula tidak sedap hati. Balik ke rumah malam itu. Suami aku membaca yassin. Sepanjang malam dia menemani aku. Suami turut memasang surah al baqarah pada pemain cd di rumah.

Malam itu, hanya terdengar balingan di bumbung rumah. Seperti pasir bunyinya. Alhamdulillah, anak-anak aku tidak diganggu. Iyad (9 tahun) dan Zura (12 tahun)di dalam bilik masing-masing, kami jenguk. Elok keduanya tidur pulas.

Aku terangkan sedikit pencahayaan dalam bilik tidur mereka. Aku pastikan tingkap juga telah berkunci.

Aku dan suami betul-betul keliru. Apalah yang mengganggu kami malam itu dari klinik? Atau mungkin ‘tertumpang’ kereta kami? Tetapi apa yang aku dengar, gumaman yang aku ingati itu, antaranya ada menyebut tentang kudis dan nanah. Seperti ada kaitan pula.

Rupanya, malam itu bukan lah pengakhirannya. Ada lagi yang mengganggu kami.

Nanti aku ceritakan. Bukan hanya di rumah. Di tempat kerja. Diri sendiri juga menanggung akibat khianat ‘Buatan Orang.”
.
.
.
.

Advertisements

One thought on “[Cerita Mdm Yui] Buatan Orang Part I

Add yours

  1. Pingback: Buy Backlinks

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: