[Cerita Mdm Yui] Buatan Orang Part II

Image result for buatan orang

cerita asal dipetik dari Facebook rasmi Mdm Yui

#ceritasatumalam

#stockmerindingbacaanberteman – Buatan Orang

Episod 2

Malam di mana suami aku menghantarkan aku yang tergaru-garu kegatalan, berakhir dengan kemunculan sosok yang tidak dapat aku gambarkan tahap keseramannya.

Tidak dilupakan bagaimana berkeretap keriup bumbung rumah kami dibaling-baling dengan pasir dan sepertinya ada yang merangkak dan berlari-lari.

Kegatalan yang merenyam-renyam di belakang badan aku, adakala bertukar menjadi rasa denyut yang menjengkelkan. Maka, suami malam itu menyapukan ubat, dan kadang menuam tempat kudis dengan tuala kecil yang direndam air panas. Sedikit sebanyak berkurang juga. Dapat aku melelapkan mata.

Keesokan harinya, pagi-pagi lagi riuh sudah rumah kami. Suara anak-anak memanggil nama aku dan suami bertingkah.

“Mama..mama!!! Kasut sekolah Iyad habis kena pasir. Penuh dalam kasut Iyad ma.” Adu anak bongsu aku.

“Mama… Tadi Zura nak ke dapur, bancuh air minum. Bau busuk sangat ma. Banyak ulat ada kat depan pintu dapur!!”
Zura pula melaporkan.

Aku yang baru usai menunaikan subuh tersentak. Anak-anak aku sememangnya bangun awal, sementelaah mereka ke sekolah menaiki bas. Subuh juga tidak pernah tinggal. Alhamdulillah. Cuma aku pagi itu agak terlewat menunaikan kewajiban, dengan keadaan kudis belakang badan yang membuatkan tidur aku sedikit terganggu. Apalagi disulami dengan bunyi-bunyian yang pelik sepanjang malam.

Suami terlebih dahulu mengikut anak-anak. Bermula di dapur rumah. Riuh aku dengar suara suami meminta Zura mengambilkannya penyapu. Penyembur serangga. Dan tidak ketinggalan mop.

“Ambil babah mop. Penyembur wangi rumah sekali.” Arah suami ku kepada anak perempuan kami.

Aku ketika itu, menyangkutkan telekung dan meletak sejadah kembali di tempatnya. Terfikir aku hendak melihat keadaan belakang badan aku.

Jadi, aku ke cermin bersiap, bersama satu cermin yang boleh aku lihat bahagian belakang. Cermin tersebut, adalah cermin gantung mudah alih. Jadi, dengan sebelah tangan aku ke belakang badan bersama cermin, sebelah lagi menyelak kain tshirt yang aku pakai.

Badan aku serongkan sedikit. Agar lebih jelas pada penglihatan aku.

Allah!!! Hampir terlepas cermin yang aku pegang. Berkerut dahi aku. Baju tshirt yang terselak aku turunkan. Korang!

Di bahagian belakang badan aku, seolahnya dipenuhi kudis dengan mata ada yang kehitaman, ada yang kuning kemerahan berserta sedikit cecair mengalir. Aku pasti itu nanah.

Keadaannya bukan berselerak seperti kudis biasa, atau cacar air. Tetapi ia lebih kepada berkumpulan. Satu kumpulan mata kudis dalam 5 atau 6 berbiji di satu tempat. Betul di bahagian belakang, hampir ke pinggang. Satu kumpulan lagi, ada berhampiran belikat bawah bahu. Dan beberapa kumpulan lagi lainnya. Tidak sanggup aku lihat.

Pada aku, ini bukan tanda alahan. Sesudah aku melihat keadaan belakang badan, aku segera menyusuli suami ke dapur.

Ya Allah!!.

Hendak dikatakan ulat sampah, sungguhlah berbeza. Tiada sampah di rumah kami, selepas jam 6 petang atau 7 malam. Itu kebiasaannya. Jika ada pun, pasti sudah di luar pintu dapur. Diikat erat. Disemburkan penghalang serangga.

Penuh satu penyodok. Dan baunya meloyakan. Seperti ulat pada bangkai haiwan. Menggeruit.

Mengembang roma aku melihatkan ulat yang memenuhi penyodok sampah. Zura berkerut-kerut dahi. Manakala Iyad menutup hidungnya. Masih terbit bau tidak menyenangkan.

Aku melihat suami terkumat kamit membacakan sesuatu sebelum pintu dapur kami buka.

Apa yang memeranjatkan, ada pula selonggok kain putih yang warnanya bercampur darah, dan kekotoran tanah dalam jarak 2 kaki dari pintu dapur kami. Terkejut suami aku.

Zura sudah menutup hidung. Iyad entah ke mana larinya sambil menekup mulut, ‘busuk’ katanya.

Dengan menggunakan batang mop yang masih di tangan, suami menguis kain berlonggok itu.

Terkejutnya kami apabila isi didalamnya kelihatan seperti bangkai lotong.

Masih ada kesan bulu hitam, dan ekornya yang panjang. Cuma kulit telah tercerai dari tulang. Daging juga mulai mereput. Mustahil ada lotong mati di kawasan rumah kami. Apatah lagi, dalam bungkusan putih sedemikian. Seperti sengaja diletakkan pula di hadapan pintu dapur. Ulat berkemeruit , menggelupur mengejar sisa daging dan darah yang masih ada.

Mengucap suami aku. Lantas dikuisnya dengan kayu mop. Ditolak sehingga ke luar pagar rumah kami. Menyeberang ke arah jalan, dan dihumbankan ke dalam longkang besar.

Aku dan Zura hanya menghantar bayang suami aku yang membuangkan bangkai lotong tersebut.

Aku menggeletar. Otak buntu memikirkan apakah semua ini. Bekas seretan kain bersama bangkai itu kelihatan basah. Ada juga ulat-ulat bangkai yang ketinggalan.

“Mama….”

“Kita siram kot.” Tanya Zura.

Entah bila sku sulungku itu keluar dari pintu hadapan, sambil sebelah tangan menekup mulut manakala sebelah lagi memegang getah paip yang disambungkan dari pili ruang belakang.

Siapa sahaja mahu keluar menginjak bekas bangkai tersebut.

Aku seolah terkejut. .

“Ha..meh mama buat. Zura tengokkan Iyad. Sekejap lagi bas sampai ni.”

“Nanti mama bagi belanja lebih. Sarapan di kantin sekolah ya.”

Aku memberikan pesanan kepada Zura. Mengangguk anak itu. Entah apa dalah fikirannya. Aku pasti, ada sedikit rasa gusar bermain di roman wajah polos itu.

Belum aku ceritakan lagi perihal kudis di belakang badanku. Biarlah. Tidak mahu aku menambahkan gusar dalam hati anak-anak. Apatah lagi, Zura di darjah 6 ketika itu.

Sambil aku siramkan kesan seretan itu. Dari kejauhan aku lihat bayangan suami menghala ke rumah. Tergeleng-geleng kepalanya. Aku menyiram, sambil berzikir dalam hati memohon perlindungan.

‘Ya Allah, jika ini perbuatan khianat oleh orang yang berhati busuk, maka jauhilah dari menyakiti aku dan keluarga ku.’

Berulang-ulang kali aku menuturkan di dalam hati. Tangan tidak henti mengalirkan air dari paip mencuci kesan tersebut. Baunya, jangan ditanya.

Busuk! Bacin! Meloyakan!

“Sayang.. Biar abang sambung. Awak kerja tak?” Tanya suami.

Aku hanya memandang wajahnya dengan mata berkaca. Sebenarnya, aku sedikit tertekan ketika itu. Seolahnya suami memahami keadaan aku. Dia juga berkerja. Namun, alhamdulillah masa kerjanya felksibel. Tidak seperti aku. Yang wajib 9pagi – 5 petang. Itupun jika BERNASIB BAIK!!

Kebelakangan ini, jam 5 bukan lagi pilihan waktu pulang aku walaupun aku berhak kerana kelebihan pada jawatan aku. Namun, setinggi mana jawatan aku ketika itu. Ada lagi seorang yang selalu menentukan waktu pulang aku. Encik Faiz!!

Jam 8 atau 9 adalah waktu pulang aku sekarang ini. Malang kan? Apa lagi hendak aku katakan. Aku bukan boss besar.

“Hari ini, minta balik awal. Macam biasa maksud saya. Awak pun tak sihat sangat.” Pesan suami.

“Kalau dapat lah abang. Saya pun tak faham dah dengan tempat kerja sekarang ni.” Aku sedikit merungut. Aku lihat suami mengangguk.

“Tunjuk surat doktor. Sepatutnya awak dapat cuti pun kan.” Bebel suami aku.

Ada benarnya kata-katanya itu. Baru aku tersedar. Eh, aku dapat MC lah. Baik aku cuti dan berehat sehingga kudis-kudis sekurangnya kering untuk hari ini.

Aku masuk ke bilik. Mencapai telefon. Baru hendak aku taipkan pesanan ringkas memaklumkan cuti aku, aku telah pun menerima mesej dari Encik Faiz.

“Morning! Hari ini cover Sara. Dia ada emergency. Jari tersepit kabinet dapur.”

What???!!!!

Membuntang mata aku. Lalu aku membalasnya.

“Morning Encik Faiz. Hari ini i nak maklumkan. Dapat MC dari doktor. I kena alahan.”

Aku hantarkan balasan. Beberapa saat kemudian, “Bip!!” aku terima lagi pesanan melalui aplikasi whatsapp.

“NO EXCUSES! U NEED TO COME TODAY. Alahan biasa-biasakan?”

Ya Allah. Ibliskah manusia seorang ini? Terpempan aku dengan jawab balasnya.

“U KENA INGAT ZAILA. I BOLEH TUKARKAN POSITION U, ATAU TRANSFER U DARI SINI. AND I KNOW, U TAKKAN MAHU SEHINGGA TAHAP ITU. U ADA KES DARI TEMPAT LAMA KAN?”

Kali ini, Sebaik membaca balasan Encik Faiz, aku berasa tidak mampu menatap dan membaca lagi ayat yang selebihnya.

Perkataan “KES DARI TEMPAT LAMA…..” membuatkan hati aku terasa hancur dihempas. Lemah aku rasakan seluruh sendi. Terlepas telefon dari tangan, jatuh ke katil. Merembes air mata membasahi pipi.

Terbayang dan terlayar ingatan, kisah aku dipindahkan dari HQ dahulu. Juga kerana khianat manusia. Dengki. Hasad. Di sini akhirnya aku di tempatkan. Aku sangkakan bermula pengalaman baru. Rupanya, jalan cerita juga tidak jauh bezanya.

Bukan salah aku. Tetapi, aku difitnah. Benarlah bila kuasa di tangan orang yang salah, maka tanpa usul periksa mendengar kedua pihak, hukuman dijatuhkan. Hanya kerana aku seorang manusia yang tidak pandai mengampu, atau ‘memasang kipas’ ntuk bos. Apalagi mengadu domba, dan bermuka-muka menikam rakan sekerja sendiri. Bukan prinsip aku. Aku mencari rezeki buat anak-anak dan keluarga. Membantu suami. Itu sahaja niatku. Lillahitaala.

Beberapa minit. Aku terdiam. Terhambur juga tangisan. Entah lah bila masanya anak-anak aku bersalaman, dan mereka pergi ke sekolah juga tidak aku sedari. Aku seolah terbuai oleh kekecewaan. Itulah kehendak iblis laknatullah. Agar hati aku tidak lagi hidup.

Hanya bila suami menegurku, baru aku seolah kembali ke alam nyata.

“Astargfirullahalazim..”

“Awak menangis-nangis macam gini kenapa? Istighfar. Zikrullah. Jangan lupa. Syaitan suka menyesatkan hati manusia. Ingat tu.”

Ucap suami, seraya memangku kepala aku yang terkulai di birai katil. Aku baru faham rasanya depressi atau tekanan. Mungkin itulah dia.

“Allah.. Abang. Anak-anak dah pergi sekolah?”

“Saya belum bagi Zura dengan Iyad duit belanja lebih. Sarapan di sekolah. Kesian anak-anak.”

Aku cuba mengangkat badan sendiri, berhati-hati. Tidak mahu kudis di belakang tersayat luka.

“Takpe. Saya dah uruskan. Diorang masuk tadi nampak awak sedu sedan menangis.”

“Diorang salam dengan awak, cakap dengan awak pun, katanya awak tak layan.”

Terang suami.

Aku yang ketika itu sudah duduk kembali, menengadah muka. Bagai mahu terjatuh rahang. Aku tidak sedar bila masanya anak-anak bersalaman, atau bercakap dengan aku. Sungguh!

“Iya bang. Kesiannya anak-anak.” Aku menggeleng-geleng menyesali.

“Dah…sudah.. Awak tu, ingat Allah. Siap cepat. Dah pukul berapa.” Suami mengingatkan aku.

“Haa.. Iye..saya siap. Abang kerja jam berapa?” Tanya aku kepada suami.

“Hari ini abang masuk site lepas zohor. Dalam pukul 2.30 petang.”

“Oh, okay. Saya siap ya.” Lambat aku menuturkan

“Mari saya sapukan dulu ubat kat belakang awak tu.” Suami meraih ubat. Dan menyapukannya.

“Hari ini, saya hantar awak kerja. Nanti petang, kalau sempat saya ambil. Kalau tidak, awak naik grab aje.”

“Dengan awak makan ubat gitu. Bahaya nak drive sendiri.” Aku hanya mengangguk. Sebenarnya aku juga tidak larat mahu memandu. Hendak meminta suami hantarkan. Aku juga kasihan melihat dia. Malam tadi, dia juga berjaga bersama dengan aku. Mengusap belakang bila aku mengaduh sakit.

Sesampainya di pejabat, ketika itu 15 minit sebelum jam 9. Suami ada bertanyakan, samada aku hendak bersarapan dahulu atau tidak. Aku hanya menyatakan akan bersarapan di pantry sahaja, dengan air panas dan biskut kosong.

Sebaik aku melangkah masuk ke dalam pejabat, satu suara kasar menyergah.

“Zaila!!! Report mana report??!!!”

Kasar sekali bunyinya. Bukan lagi sejenis pertanyaan, tetapi lebih kepada tengkingan aku rasa. Hampir terlepas tas tangan yang aku jinjing. Sepagi hari dengan 1001 masalah di rumah, setibanya aku membuka pintu pejabat, sekuat halilintar pula suara menyergah.

Mengurut dada aku ketika itu.

Setelah aku menarik nafas, meredakan ketengangan jiwa dan debar didada, baru aku menjawab.

“Saya dah letak atas meja Encik Faiz malam semalam sebelum balik.” Menunduk aku menjawab. Tidak sanggup rasanya memanggung wajah, apabila semua mata di dalam pejabat itu menghala ke arah aku dan Encik Faiz yang bercekak pinggang.

Malu aku. Sungguh aku rasa dihina.

“Oh, ada atas meja?”

“Nanti saya semak!”

Bersahaja dia menjawab?? Tiada langsung riak rasa bersalah?

Bukankah semalam, dia yang memaksa aku menyemak dan menyiapkan laporan itu. Katanya hendak singgah ke pejabat sesudah bermesyuarat?

Sedari pagi tadi, apa dibikinnya? Takkan laporan berserta nota yang aku lekatkan itu tidak dilihatnya?

Apa masalah orang-orang dalam pejabat ini?

Setelah Encik Faiz beredar, aku menuju ke meja kerja. Mashaallah, siapa yang menyepahkan kertas-kertas begini?

Seingat aku, sebelum meninggalkan pejabat telah aku kemaskan? Habis berselerak segala macam benda bertaburan, seperti aku tidak mengemaskannya langsung. Pelik!

Baru sahaja hendak melabuhkan duduk di kerusi, telefon berdering.

SUAMIKU

Butang angkat aku tekan.

“Assalamualaikum abang..” Menggeletar aku menahan rasa. Hendak terhambur tangisan, tetapi aku tahan. Tidak mahu menambah kerisauan suami pula, setelah bermacam perkara kami lalui.

“Waalaikumussalam. Awak ok tak? Gatal-gatal lagi? Ubat jangan lupa makan. Nanti lunch sama. Abang ambil.” Panjang lebar dan bertalu-talu pertanyaan.

Aku hanya mengetap bibir. Ikutkan rasa, hendak sahaja aku meledak tangis mengadu apa yang aku lalui di pejabat sedari pagi tadi. Tetapi, akal ku masih mempertimbangkan segala kemungkinannya.

“Saya ok abang. Kurang sikit gatal tu. Tetapi rasa macam berdenyut pula di tempat lain.”

Aku menjawab dalam ketaran menahan rasa.

“Haaa..ok…abang nak bawa awak jumpa kawan abang sekali. Ada yang tak kena ni.” Sebaik suami meletakkan telefon, aku terfikir.

“Tak kena??”

Apa yang tak kena ya?

Ah, nantilah aku tanyakan suami bila berjumpa.

Seperti yang aku agak, seharian di pejabat menunggu waktu rehat dan makan tengahari, berbagai kerja yang tidak disiapkan Sara seolah dihumban ke meja aku. Dengan gatal yang kadangkala merenyam-renyam,denyutan sakit bernanah, berkerut dahi aku.

Termasuk juga leteran dan bebelan Encik Faiz. Ada sahaja yang tidak kena dimatanya. Asal sahaja ada kerja yang melibatkan nama aku,mulalah dia memanggil dan menyuruh aku membuat semakan.

Mana hendak aku siapkan kerja-kerja dengan tambahan kerja lain sebegitu. Mulalah aku dilabel lembab. Tidak sepatutnya jawatan itu aku sandang.

“Macam ni senang pun failed! Baik letak jawatan! Orang lain lebih layak dari awak!”

Pang!! Bagai ditampar bertubi-tubi.

Akhirnya, aku terlepas seketika. Apabila tiba waktu makan tengahari. Mencemek muka Encik Faiz bila dia menyerahkan kerja baru, yang katanya perlu dibuat waktu rehat itu kepada aku. Tetapi dengan sedikit nada keras, aku memohon maaf dan akan menyiapkannya selepas makan tengahari. Aku katakan, suami telah pun menunggu di ruang lobi.

Aku tinggalkan ruang kerja yang bagaikan neraka tengahari itu. Seribu rasa aku pendam. Sebaik terlihat kelibat suami, aku terus meluru dan menghambur tangisan. Pantas suami aku membawa diri aku ke tempat letak kereta. Tidak mahu orang memandang serong kepada aku katanya. Sedangkan aku, betul-betul dilanda kekecewaan ketika itu.

Dipendekkan cerita, sesampainya ditempat makan seorang pemuda yang memperkenalkan diri juga sebagai Faiz menegur kami mesra. Berkerut dahi aku mendengarkan nama pemuda itu juga Faiz.

Kebetulan barangkali. Satu nama yang membawa dua watak. Watak keduanya yang sangat berbeza. Seorang siperengus., manakala yang dihadapan ku ketika ini sangat lembut budi bicara dan sopan santun tuturnya. Hormat sungguh kepada orang lain.

“Assalamualaikum kak Zaila.” Ucapnya hormat.

“Ya, waalaikumussalam.” Aku sedikit tergagap.

Aku masih dibayangi Faiz lagi seorang yang tidak ubah seperti penzalim lagaknya.

Tiba-tiba menggeleng Faiz yang dihadapan ku.

Terkejut aku melihatkan gayanya. Mengapa dia tiba-tiba menggeleng begitu. Sambil mulutnya tidak henti mengalunkan zikrullah. Sejuk hati aku yang sebentar tadi rasa hendak meletup, libang libu dek layanan yang aku terima di pejabat.

“Macamana Faiz?” Tanya suami pula. Semakin menaik graf kekeliruan aku ketika itu.

“Bukan sebarang ni bang. Dengan bantuan tipu daya jin dan syaitan.”

“Sebahagiannya, Pelalau.”

“Allahu… Ada yang juga berniat menyakiti.”

Ujar Faiz seraya menunduk dia. Raut wajah Faiz yang dihadapan aku biasa-biasa sahaja. Tetapi, cara dia berbicara..penuh ilmu didada anak muda ini.

“Pelalau?” Ulang aku dan suami hampir serentak.
.
.
.
.

bersambung…

Advertisements

One thought on “[Cerita Mdm Yui] Buatan Orang Part II

Add yours

  1. Pingback: Deeg deegs count

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: