[Cerita Mdm Yui] Buatan Orang Part III

Image result for buatan orang

cerita asal dipetik dari facebook rasmi Mdm Yui

#ceritasatumalam

#stockmerindingbacaanberteman – Buatan Orang

Episod 3

Semasa aku dan suami mengajukan pertanyaan hampir serentak berkaitan ‘pelalau’ yang disebutkan oleh Faiz, pemuda itu hanya mengangguk dan menunduk.

“Macamana pelalau tu Faiz?” Suami terlebih dahulu mengajukan rasa ingin tahu, sama seperti yang aku rasakan.

Aku pula hanya meramas jemari, menantikan penjelasan Faiz tentang sihir pelalau tersebut.

“Bismillahirrahmanirrahim. Dengan izinNya jua abang, kakak… Saya cuba terangkan sedikit sebanyak.”
Faiz mengangkat muka, merenung ke arah suami aku dan aku sendiri bersilih ganti.

Kami dengan penuh debaran menantikan kata-kata Faiz yang berikutnya. Lupa terus aku soal makan. Berita ini, pada firasat aku lebih penting untuk aku dengar dan fahami.

“Begini, sedikit sebanyak. Melalui pengalaman saya, akak ni terkena sihir jenis ini.”

“Tujuannya, sihir pelalau ini ialah untuk menghalang pesakit dari mencari rezeki samada di tempat kerja/pejabat atau premis perniagaan.”

“Menghalang rezeki dari segi perkahwinan atau rezeki dari segi maju dalam pembelanjaran.”

“Pendek kata semua usaha untuk mencari rezeki-rezeki ini terhalang tanpa sebab yang munasabah.”

“Untuk kakak, saya rasa lebih kepada menjadikan kakak dibenci ditempat kerja. Segala kerja tidak menjadi. Peringkat baru lagi ni kak.”

“Lebih teruk nanti, akak jadi malas melakukan tugasan akak. Kawan-kawan kat tempat kerja tak suka.”

“Kalau akak ada orang atasan pula, dia akan sering mencari kesalahan akak, tanpa sebab.”

“Wallahuaklam kak. Semua atas kehendakNya. Sebagai kadangkala ujian kepada kita, hambaNya.”

Panjang sungguh penerangan Faiz. Kesat air liur aku rasakan ketika mendengar ucapannya. Berasa diri sendiri tiba-tiba lemah. Seram sejuk. Aku rasa, beberapa perkara yang Faiz nyatakan telah pun aku alami. Mungkinkah ini akibat dengki seseorang?

Siapa?

Seingat aku. Tiada sesiapa pun yang pernah aku zalimi. Apatah lagi aku tindas sepanjang memegang jawatan ketua bahagian tersebut.

“Tapi kenapa akak? Akak tak pernah jahat kat orang Faiz…” Entah mengapa aku utarakan pertanyaan itu. Buntu otak aku sebenarnya.

“Kak, abang. Seperti kata saya. Tiada daya melainkan dengan izinNya. Ujian dariNya untuk hambaNya yang dikasihi.”

“Allahuakbar. Khianat dan hasad orang terlalu banyak kak. Abang.” Sambung Faiz.

“Ada cara tak Faiz?” Aku akhirnya mengajukan soalan. Mengangguk Faiz.

“In shaa allah kak. Dengan izin Allah, segalanya mungkin.” Jawab Faiz penuh berhati-hati.

Tanpa aku sedari, titis jernih membasahi pipi. Satu rasa tidak terluah akhirnya aku jelaskan dengan air mata. Betapa ketika itu aku rasa terkilan, sedih, lemah dan agak buntu sebenarnya.

Kenapalah masih ada manusia yang khianat dan menabur kebencian dengan bantuan jin dan syaitan sebegitu?

Salahkah andai kita mencari rezeki bersama-sama atau paling tidak bekerja dengan ikhlas?

“Abang…” Aku menunduk. Akhirnya pecah benteng ketabahan aku. Tengahari itu, buat pertama kalinya aku tidak ada selera mahu makan. Hanya air aku teguk penghilang dahaga.

“Abang. Saya nak ambil cuti kecemasan. Saya rasa tak boleh nak hadap keadaan dipejabat tu.” Aku mengadu dan memohon pandangan.

Suami juga akhirnya mengambil cuti. Menyelesaikan urusan kami katanya lebih perlu diutamakan.

Petang itu, anak-anak kami jemput. Kami tinggalkan mereka di rumah ibu mertua aku, sementara aku dan suami mencari ikhtiar.

Pada ibu mertua aku berpesan. Agar anak-anak tidak tinggal solat dan mengaji. Bapa mertua bekalkan aku dan suami dengan sebotol madu segar yang baru didapatkannya. Katanya bagus untuk dalaman.

Mujurlah sekolah bercuti sabtu dan ahad keesokannya. Zura dan Iyad juga tidak banyak bertanya. Mungkin mereka memahami usaha aku dan babah mereka ketika itu. Allah permudahkan urusan aku..

Kudis masih lagi tumbuh.

Entah bagaimana, malam yang sepatutnya aku bertemu dengan Faiz di rumahnya bersama suami ketika itu, aku diserang sesak nafas dan kudis di belakang badan berasa sakit tidak keruan. Meraung-raung aku di dalam kereta.

Hampir-hampir aku membuka pintu dan terjun dari kereta kerana tiba-tiba ada suara membisikkan kepada aku,

“Zaila. Kau tidak berguna. Beban kepada suami dan keluarga. Baik kau mati!!”

“Mati…!!”

Mujur suami pantas merentap erat pergelangan tangan dan melaungkan azan sekuatnya. Terus aku tersedar dari tindakan melulu.

Mengikut perancangan, kami akan ke rumah Faiz. Tetapi, disebabkan aku meraung kesakitan suami membelok ke arah hospital.

Sebaik tiba di sana. Doktor dan jururawat yang ada melakukan pemeriksaan yang sepatutnya. Kata mereka aku perlu ditahan di wad.

Mereka tidak dapat mengesan apakah punca aku tiba-tiba berkeadaan begitu. Cuma kudis dibelakang badan dirawat, dan diberikan suntikan menahan gatal.

Aku memohon untuk tidak ditahan diwad. Teringat aku akan rawatan yang sepatutnya aku cuba malam itu. Jadi, dipendekkan cerita doktor meminta aku menurunkan tandatangan sekiranya berlaku apa-apa dalam perjalanan, bukan lagi tanggungjawab hospital melainkan atas risiko sendiri.

Aku bersetuju.

Lalu, aku melangkah keluar dari hospital. Suami pula menghubungi Faiz dan menceritakan akan keadaan aku yang tiba-tiba berlaku sehingga kami terpaksa membatalkan pertemuan malam itu.

Menurut suami, Faiz telah dapat mengagak perkara itu akan berlaku. Sepanjang petang, sehinggalah kes di hospital, tidak henti-henti mesej berbunyi.

Bila aku sempat membukanya, ada yang aku baca sebegini bunyinya…

“Zaila … Pastikan u siapkan semua kerja-kerja yang telah diarahkan. Jika tidak. SURAT TINDAKAN TATATERTIB akan i keluarkan.”

Aku hanya mampu menangis. Apakah dia tidak faham, keadaan aku yang sedang sakit ketika itu?

Suami aku membalas mesej dari Encik Faiz.

“ZAILA MC. KEMUNGKINAKAN AKAN SAMBUNG CUTI KECEMASAN BEBERAPA HARI. SEKARANG DI HOPITAL. – SUAMI”

Korang tahu apa si kejam.itu jawab?

“Ok. TERUK SANGAT?”

Allahu…terkedu aku.. Sudahnya suami matikan telefon aku. Dan membiarkan sahaja dalam keadaan bertenang.

Apabila Faiz dimaklumkan bahawa kami tidak dapat datang malam itu, terus dipesannya aku agar membaca Yassin 7 Mubin. 7 malam berturut-turut. Pesan Faiz, kami hanya akan berjumpa 7 malam selepas itu. Dia juga mahu mempersiapkan segala yang perlu. Solat hajat dan sebagainya agar urusan merawati aku dipermudahkan.

“Kak Zaila niatkan, berbaliklah sihir kepada sipemberi, dan berikan kesedaran agar berhenti menyekutukan Allah. Dengan izinNya, in shaa allah.”

Itu pesan Faiz malam itu. Aku diminta agar mendirikan solat sunat Taubat. Solat sunat Hajat 2 rakaat, dan membaca Yasin 7 mubin. Dengan niat yang dipesannya.

Diingatkan oleh Faiz, hanyalah sebagai ikhtiar manakala iktikad perlu dijaga. Kebergantungan sepenuhnya kepada Allah.

Sepanjang usaha itu aku lakukan, ada sahaja gangguan di rumah. Anak-anak terpaksa aku tumpangkan di rumah mertua hampir seminggu. Sabtu pagi selepas kejadian aku ke hospital, kami hantarkan pakaian dan segala kelengkapan persekolahan mereka.

Mujurlah mertua memahami. Malah berjanji akan turut mencarikan kenalan yang boleh membantu aku sepanjang tempoh itu. Akhirnya suami menceritakan juga. Dan kerana itulah mertua tidak ralat menjagakan anak-anak kami.

Malam pertama, suara seperti mengerang garang kedengaran di sekeliling rumah kami. Awal-awal sebelum maghrib suami telah menutup semua pintu dan jendela rumah, disertai dengam lafaz bismillah. Malam itu kami mendengar seolah ada kucing yang besar, menggarong. Mengerang berpusing sekeliling rumah, dan mencakar-cakar pintu serta dinding.

Dinding bilik kami dan tingkap tempat kami berdua tidurlah yang lebih kerap kedengaran. Suami hanya menggeleng. Mengingatkan aku agar terus melazimi bibir dengan zikir dan bacaan ayat suci al quran.

“Eeerrrhhmmmmmm……. eeeerrrrmmmmmm….” Garau, panjang sekali erangannya.
Walaupun diganggu sebegitu, alhamdulillah. Malam itu tetap aku dapat melakukan seperti mana pesanan Faiz, ditemani suami yang membaca Yassin.

Bila hari siang, kami berkeliling kawasan rumah. Tiada sebarang kesan cakaran oleh kucing, dan lain-lain sebagaimana kami dengar dimalam hari sebelumnya.

Pelik!

Hanya ada kesan seperti seretan arang, di lantai koridor. Suami basuh dan cuba sehabisnya menghilangkan kesan tersebut.

Malam kedua pula, selepas isyak. Tiba-tiba telinga kami mendengar rintihan dan tangisan mendayu-dayu. Kadangkala senyap. Kadangkala bersahutan. Sedih sungguh suara tersebut menangis. Merinding habis roma di seluruh tubuh. Dan kudis-kudis di badan aku merenyam gatal.

Bila suami sapu dengan air bancuhan madu dan aku telan ubat bekalan doktor, ada sedikit kurangnya. Ada juga yang telah surut bengkaknya. Suara itu berlarutan mendayu diselangi dengan bunyi anjing bersahutan mengonggong hiba.

“Aaauuuuuuuuuu………uuuuuuuu”

“Aaauuuuuuuuuuu……”

Sehinggalah aku mengambil wuduk, mengerjakan solat sunat taubat. Hajat. Dan Yasin 7 mubin. Berhenti serta merta, aman hingga ke pagi hari. Alhamdulillah.

Namun, yang mengejutkan kami hari kedua itu pula. Di awal pagi apabila pintu dibuka, sama seperti yang pernah kami alami. Ada lagi bangkai lotong di hadapan pintu. Kali ini, pintu utama. Beristighfar kami berdua suami isteri. Suami dengan sabar mengheret dan membuangnya sama seperti sebelumnya.

Malam ketiga, agak mendebarkan. Segalanya nampak seperti aman. Namun, apabila jam 12 malam, kami mendengar ada goncangan pada pintu hadapan rumah kami. Jendela diketuk dan dibaling batu. Bunyi pasir di tabur di atas bumbung. Juga bunyi ketukan pada pintu dan jendela sekeliling rumah.

Agak cemas aku. Memucat dan menggeletar seluruh tubuh. Entah apa yang dibualkan suami ketika dia menghubungi Faiz, selepas itu suami bangun mencari garam.di dapur.

Dibacakan 3 Qul dan ayatul Qursi, serta ayat ke-9 dari Surah Yassin, ditiup ke dalam bekas garam tersebut.

Aku hanya mengekori langkah suami, walaupun sedikit gemuruh apabila melihat pintu rumah kami digegar. Sebaik suami menaburkan garam disetiap bingkai jendela dan gawang pintu, alhamdulillah. Aman malam itu tanpa bunyi-bunyi yang menakutkan. Seolah hendak dirobohkan rumah kami.

Tengah malam itu, sekali lagi aku melazimi amalan yang diingatkan. Walau ada terbit rasa seolah ‘malas’ dan ‘cukuplah’ dalam hati. Suami mengingatkan aku, itu hanya mainan syaitan dan hasutan agar melemahkan aku.

Aku ditemani suami yang sama-sama berjaga di malam hari mengerjakan solat. Dan membaca Yassin 7 mubin.

Apabila hari siang, penuh di hadapan koridor pasir yang entah dari mana datangnya. Ketika menyapu keluar, hanya alunan zikir bermain dibibir kami berdua. Hari sianglah dapat kami sedikit berehat dan melelap mata. Kerana ketika menjelang asar, maghrib, isyak dan tengahmalam. Macam-macam kami hadapi.

Bersyukur aku, suami sangat kuat dan memahami. Anak-anak pula di rumah mertua ketika itu.

Malam keempat pula, tiba-tiba kami berdua rasakan rumah sedikit berbahang. Panas tiba-tiba. Berdecit juga mulut aku mengadu akan rasa bahang tersebut. Panas itu lebih aku rasakan dibahagian belakang tubuh aku yang ditumbuhi kudis.

Sehingga aku ingin.membuka tingkap dan pintu, tetapi ditegah oleh suami. Aku seolah dalam keadaan tidak sedar akan gerak geri hendak membuka pintu tersebut.

“Awak…. jangan buka pintu!” Terhenti langkah kaki dan tangan yang sudah menyentuh tombol pintu ketika itu. Baru aku tersedar bahawa aku seolah dipanggil-panggil membukanya.

Walaupun alat penghawa dingin dipasang, namun renek peluh tetap tumbuh di dahi. Rimas rasanya. Malam itu, sekali lagi kami mengerjakan Yassin 7 mubin.

Keesokan siangnya, aku dan suami melihat sekeliling rumah. Seperti rutin pula setiap malam diganggu dan keesokannya kami memeriksa sekeliling rumah.

Bila difikirkan seoalah hidup kami menjadi kacau bilau. Tetapi, memang benar. Apa yang menarik, hari itu. Di sekitar koridor rumah aku, ada beberapa cebisan kesan terbakar.

Ada cebisan baju, kasut dan kain perca yang sebahagiannya terbakar rentung. Terbit habuk disekitarnya. Suami sapu, manakala aku melalukan air paip.

Pening aku. Siapa pula yang membakar benda-benda sebegitu di rumah aku?

Malam kelima di rumah aku, terbit bau busuk. Maung. Bacin. Bangkai yang entah dari mana datangnya. Ruang tamu. Bilik. Dapur sehingga ke dalam tandas juga ada bau itu.

Kami hanya bersabar. Menutup hidung. Adakala suami menyembur penyegar udara. Baunya sukar digambarkan. Seolah kau tinggal di kawasan pembuangan sampah. Atau ada berpuluh bangkai di sekeliling rumah malam itu. Sehingga habis kami mengerjakan Yassin 7 mubin dan menjelang subuh, masih bersisa bau bacin, bangkai, lohong dan busuk tersebut.

Pagi-pagi lagi suami mengajak aku meneliti kawasan rumah. Alhamdulillah, tiada apa-apa yang pelik terjadi. Tinggalan bangkai juga tiada. Cuma kelegaan kami berkesudahan dengan keterkejutan yang agak teruk, apabila dalam tempat letak kasut terdapat puluhan ekor ulat bulu.

Bergelitis pula berebut mencari ruang memasuki kasut-kasut kerja aku. Itupun kami sedari, bila ada seekor dua yang menggeliat geliut terkeluar dan jatuh.dari pintunya.

Habis ditolak oleh suami rak kasut yang sederhana besar itu ke halaman, sebelum disembur dengan penyembur serangga kesemuanya.

Pelik kami memikirkan, dari mana datangnya sebanyak itu ulat bulu.

Bila suami ajukan kepadA Faiz khabarnya sabar dan habiskan berbaki lagi 2 kali atau 2 malam lagi.

Malam keenam, aku gelisah. Tiada bunyi suara menangis.
Tiada bunyi pasir dibaling.
Tiada bunyi cakaran.
Tiada bau busuk.
Tiada gegaran pintu.

Tetapi aku menggelisah bilamana kudis di belakang badan aku ketika itu berasa meletup-letup..

‘Tus..’

‘Tus..”

Melelehlah nanah yang baunya juga tidak calang dan kurang hebatnya menusuk ke rongga hidung. Bacin.

Suami yang sabar meladeni. Membersihkan dengan tuala yang direndam air panas suam. Serta menyapukan ubat. Alhamdulillah. Rasa denyut agak berkurangan. Mata-mata kudis dan kulit yang kelihatan kembung memerah juga surut.

Suami hanya mengingatkan aku agar melazimi bibir dengan zikir. Penuh dan hampir kekuningan bekas air yang digunakan suami untuk mengelap nanah pada kudis yang memecah malam itu.

Namun, ada satu rasa lega. Seolahnya tubuh aku merasakan kelegaan yang sukar diungkapkan. Malam itu, sesudah mengerjakan Solat dan Yassin 7 mubin. Kami berdua dapat tidur lena.

Sehingga ke pagi hari tiada apa-apa. Bila suami hendak memeriksa kudis dan gatal di belakang badan. Terdengar aku ucapannya..

“Alhamdulillah. Banyak yang dah kering ni. Yang ada mata, kecut tak sempat bernanah. Syukur”

“Awak rasa macamana?”

Suami bertanya.

“Kurang gatal rasa denyut pun hilang. Alhamdulillah.”

Hanya itu yang aku jawabkan. Berserta rafak sembah rasa syukur aku panjatkan dalam hati. Lega sangat rasanya.

Dihadapan rumah kami, bergelimpangan beberapa ekor katak puru yang telah mati terkangkang. Hangus seperti terbakar kulitnya. Kesian aku melihatkan keadaan haiwan itu. Dibuang juga oleh suami.

Malam ketujuh. Iaitu malam terakhir aku perlu membaca Yassin 7 mubin, segalanya alhamdulillah normal. Dalam mimpi sesudah solat dan bacaan, entah bagaimana muncul kelibat Sara. Bersilih ganti dengan seorang lagi yang aku kenali. Dari tempat kerja lama aku dahulu (HQ). Hanya wajah mereka berdua.

Bila aku bangun keesokannya. Dengan izin Allah, kesegaran dan rasa lega yang tidak terungkap. Aku berasa badan ringan. Rumah juga kembali ceria dan normal keadaannya. Tidak seperti sebelum itu.

Petang itu, hari ketujuh aku tamat mengamalkan bacaan Yassin 7 Mubin. Kami berjumpa dengan Faiz di rumahnya.

Dipendekkan cerita, Faiz memberi aku minum air kosong bercampur madu. Tidak lama aku termuntah. Berketul-ketul darah keluar.

Dari darah yang berbungkal itulah, ada semacam urat rambut. Juga seperti mata buah teratai. Akhirnya, apabila aku diminta memuntahkan isi perut, keluar seolah kaca dan jarum. Wallahuaklam.

Peritnya tekak dan perut sewaktu memuntahkan isi tersebut, terlalu payah hendak aku gambarkan. Sakit. Pedih. Memulas.

Sehabis aku muntah. Aku diminta minum air bancuhan madu, dan mandi dengan air bacaan surah dan limau membuang dan ‘membilas’ bisa ujar Faiz.

Sehabis tempoh aku bercuti. Ketika naik semula bekerja. Aku dikejutkan dengan berita Sara yang meletak jawatan serta merta. Juga dapat aku tahu dia telah ditahan dihospital kerana penuh wajahnya. Belakangnya ditumbuhi jerawat dan kudis seperti aku alami.

Beristighfar aku mendengar berita itu. Tidak berniat apa-apa, biarlah menjadi pengajaran buat dirinya. Mungkin apa yang dihantar, berbalik semula kepada si pelaku. Entahlah. Telah aku maafkan sebenarnya.

Selang beberapa hari. Encik Faiz pula menemui aku dan memohon maaf. Dia mengakui, sepanjang berurusan dengan aku. Ada kata-kata yang kurang elok disampaikan mengenai aku didengari. Kadangkala, dia berasa marah tiba-tiba, tanpa sebab.

Terngiang pula kata-kata berbaur hasutan tentang diri aku, itulah yang menambahkan kemarahan dalam.dirinya kepada aku. Panas menggelegak hati melihatkan raut wajah aku pun cukuplah. Mau dia memaki dan marah sahaja walau aku tiada berbuat salah. Kesal katanya atas keterlanjuran sikapnya.

Dan aku terdengar desas desus, rakan sekerja aku di tempat terdahulu juga mengambil cuti kecemasan. Agak lama. Katanya tiba-tiba sesak nafas, tiada diketahui hujung pangkal punca. Entahlah, mungkin kebetulan.

Aku menerima permohonan maaf dari Encik Faiz, berserta surat letak jawatan berkuat kuasa 24 jam. Itulah aku rasa sebaiknya aku lakukan. Cukuplah pengalaman getir yang aku lalui.

Walau dipujuk berkali-kali. Malahan dijanjikan dengan kenaikan jawatan dan gaji. Aku sudah serik. Pada aku, biarlah aku lepaskan ketika ini. Mungkin bukan rezeki aku mendapatkan keistimewaan dan kelebihan itu.

Aku nekad meletak jawatan. Pengalaman yang tiads tolok bandingnya, ketika aku ‘disakiti’ membuatkan aku lebih berhati-hati.

Namun begitu, bahagian pengurusan tertinggi memberikan jaminan aku boleh masuk dan mengambil semula jawatan aku bila-bila masa andainya hati terbuka semula. Tawaran kenaikan pangkat dan gaji, masih ‘valid’ atas nama aku. Atas sumbangan dan segala jasa yang pernah aku berikan untuk kerja-kerja aku selama dalam perkhidmatan.

Aku menerima tawaran itu, istimewa buat aku. Aku anggapkan rezeki. Namun bukan sekarang. Hati aku masih berbekas rasa terkilan dan kecewa. Kerana itu aku memilih untuk ‘berehat’ seketika. Menjadi suri rumah. Memfokuskan anak aku, Zura yang bakale menduduki UPSRnya waktu itu.

Korang, jadikan pengalaman aku sebagai pedoman dan teladan..
.
.
.
.
.
.
.
.
Pendamping aku sekaliannya. Sedikit tunas rasa aku titipkan buat bacaan semua.

Begini,

Rasa sakit itu tidak terlalu ketara bila yang menikam kita adalah musuh sendiri. Kita tahu, dia membenci kita. Kerana itulah dinamakan musuh, bukan?

Berbeza rasanya,pedih dan seolah disiat-siat bila kita mengetahui orang yang kita anggap sahabat atau rakan itulah sebenarnya yang berniat jahat kepada kita.

Rasa dikhianati, dizalimi, dan ditipu hidup-hidup oleh orang yang kita percaya lebih parah lukanya dalam hati. Berbekas rasanya.

Cukuplah aku katakan. Berhati-hati semua. Rambut sama hitam. Hati tak siapa tahu. Oh ya, nama-nama watak dalam cerita ini seperti Encik Faiz, Zaila, Sara, Faiz, Zura, Iyad dan lain-lain adalah letak rasa aku sendiri. BUKAN NAMA SEBENAR.

Dalam mana-mana karya olahan aku. Sememangnya nama-nama watak aku ubah. Latar tempat juga suasana aku ubah. Bidang pekerjaan juga aku sebolehnya tidak terlalu ketara aku sebutkan. Kerana apa?

Kerana ada dalam kalangan mangsa masih ‘struggle’ merawat diri mereka ketika ini. Mohon kita titipkan doa kesembuhan buat mereka. Amin..

Advertisements

One thought on “[Cerita Mdm Yui] Buatan Orang Part III

Add yours

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: