[Cerita Mdm Yui] Susuk Part II


Cerita asal dipetik dari Facebook: Mdm Yui (https://www.facebook.com/aleesya.hani)

#ceritasatumalam

#stockmerindingbacaanberteman – #SUSUK

Episod 2

Keesokan harinya, kami berdua bersiap sekadar cuma. Maklumlah, cermin tidak boleh kami gunakan selama 7 hari berturut-turut.

Sesampainya di tempat kerja, seperti biasa tiada apa yang berbeza. Aku dan Zura masuk ke bahagian kami. Melakukan tugas rutin seperti hari sebelumnya.
Pagi lagi, cuma ada haruman bunga kantil yang menyelerak di seluruh ruang rumah sewa aku dan Zura. Selain itu, semuanya kelihatan biasa-biasa sahaja.

Dalam jam 10 pagi, aku dan Zura duduk sementara di ruang rehat. Selalu waktu senggang begitu, kami diberikan masa selama 30 minit untuk melepaskan lelah. Minum air. Atau mungkin makan roti, dan sebagainya.

Dalam pada kami berdua duduk di ruang rehat berhadapan loker tempat menyimpan barangan kami, tiba-tiba Hasimah dan beberapa orang rakannya menemui kami.

Mereka kelihatan hendak mengambil barangan di dalam loker berhampiran kami. Aku dan Zura sudah bersedia mendengar kata-kata yang bakal menghunjam dan menyeksa hati kami seperti biasa.

“Korang… Badak makan apa?”

Tanya Hasimah kepada rakan-rakannya yang sudah ketawa terkekek-kekek.

“Makan sayur je…” Jawab salah seorang daripada mereka. Disambut dengan jerit pekik hilaian ketawa yang bagi mereka kononnya sangat mencuit hati.

“Haaa..dengar tu. Badak makan sayur. Bukan roti!!!”

Paap!!! Tercampak roti dari tangan aku. Melopong mulut. Sebenarnya aku terkejut. Sampai hati Hasimah menepis roti yang sedang aku pegang.

“Kenapa kau ni Hasimah. Muka je cantik, tapi perangai kau….”

Hasimah hanya mempamer riak muka mencebek dan menjeling ke arah aku. Zura sudah menepuk-nepuk bahu aku, lantas menghulur roti lagi seketul dari beg nya.

“Sudahlah kau badak!! Tak payah berlakon jadi power rangers. Koyak baju, tak muat. Jadi badak je ye….”

“Sesuuuhuukkk..bbrruuffff..huukk..hukkkk…”
Hasimah tiba-tiba terbatuk. Seolah tersedak pula. Aku hanya memerhati. Dalam hati aku terdetik, ‘batuk darah’ lah mulut kau Hasimah!

Sekelip mata, batuk Hasimah bertukar menjadi agak teruk.

“Uhhukk..bbrruufffhuukkk..hukkkk…uhuukkk….”

“Uishh..apsal kau ni Simah? Berdarah ni?!” Rakan Hasimah bernama Aida menepuk-nepuk belakang badan Hasimah yang terhenjut-henjut menahan batuk.

Mulutnya ditekup erat. .
Melopong Aira dan rakan yang lain apabila melihat dari celahan jari Hasimah yang menahan batuk, mengalir cecair likat yang berbau hanyir.

Darah pekat, merah hampir menghitam, membuak mengalir dari celahan jarinya diiringi bunyi batuk yang sangat teruk kami dengari.

“Aira…aku rasa nak pitam… Gatal sangat hukkk..hukkk…tekak aku ni.”

Hasimah memegang kepala dengan tangannya satu lagi. Aku dan Zura hanya terduduk, membuntang mata melihat apa yang berlaku pada Hasimah.

Pada ketika itu, semacam ada perasaan puas melihat mulut Hasimah berlumuran darah. Berhenti dari mengejek dan mengata kami berdua. Aku memandang Zura, berkerut dahi. Zura pula membalas pandangan aku dengan sedikit senyuman menyungging di hujung bibirnya, mengangguk perlahan.

“Apa korang pandang-pandang!!” Melengking jeritan Aira kepada kami berdua. Aku dan Zura menunduk sahaja.

Sebaik kelibat kumpulan mereka menghilang, pada aku mungkin membawa Hasimah ke tandas membersih diri. Aku dan Zura akhirnya meletus sedikit tawa.

“Zura.. Menjadi lah kan. Hihihi… Aku tadi, terdetik dalam hati. Batuk darah lah Hasimah si mulut jahat tu.”

“Agaknya masin mulut aku, tersedak dia. Betul batuk darah lah.”

Aku mengangguk-angguk kepada Zura.

Zura pula ketika itu menahan ketawa yang rasanya bagai digeletek-geletek hatinya.

“Aku dah kata. Wak tu bagus. Aku pun tercakap benda yang sama lah dalam hati.”

Zura seakan membisik, apabila menyebut nama ‘wak’. Aku akhirnya menutup mulut. Ketawa meletus juga.

Tengahari itu. Kelibat Hasimah tidak kelihatan sewaktu rehat. Hanya Aira dan beberapa orang lagi rakan mereka sahaja yang aku nampak ke kantin. Mendekati meja Isma, aku terdengar Aira berkata sesuatu kepadanya.

“Simah ke klinik. Batuk berdarah pula. Tak henti. Habis baju dia.”
Ucap Aira.

Selebihnya aku biarkan berlalu. Aku hanya menghantar pandangan penuh bermakna kepada Zura di depan. Makhluk seorang ini, tidak pandai sungguh menyembunyi rasa. Geli hati sungguh dia.

“Hoii…kau apasal tergelak-gelak?!!!” Jerkah Aira kepada Zura.

“Eh, kenapa aku tak boleh ketawa? Aku ingat benda kelakar. Ada harimau patah gigi, berdarah mulut!”

Terkejut aku apabila dengan berani Zura menjawab.

“Eh. Lebih-lebih kau ni ya.” Balas Aira.

“Siapa yang lebih-lebih? Itu balasan agaknya. Mulut jahat! Ke kau pun nak kena benda yang sama macam tu?”

Berombak dada aku. Dari mana datangnya keberanian aku sepertimana Zura, membalas cakap-cakap Aira?

Tetapi, jauh dalam lubuk hati aku seakan puas. Kepuasan yang tidak dapat aku gambarkan rasanya. Seperti aku memenangi perlumbaan dan mendapat pingat emas!

Terdiam Aira.

Tiba-tiba mulutnya terkunci.

Aku yang tadinya sedikit menjerit, membalas kata-kata Aira agak terkesima apabila, aku dapat menangkap senyuman Isma melihat ke arah aku.

‘Betul kah Isma tersenyum tadi?’

Terkebil-kebil aku. Mengunci mulut.

“Ayu…Idayu… Uuiitttt… ” Terdengar suara Zura memanggil nama aku.

“Aaahh..haaa… Kenapa?” Aku bertanya kepada Zura.

“Aku rasa aku nampak Isma senyum kau tadi kan?”

“Kan??” Ucapan Zura menerbitkan rasa segan pula kepada aku.

Biar betul?

Cepat sangat pula aku rasa aura susuk kembang kantil menunjukkan kesannya. Bagus!

“Ish..mana ada. Mata kau je tu.” Bidas aku mengurangkan rasa segan kepada Zura.

Akhirnya, kami menyambung makan tengahari dengan senyuman kemenangan. Tidak sia-sia aku mengikut Zura dan melaburkan wang untuk mendapatkan rasa seperti itu.

Hukum aku permainkan. Waktu itu, hanya rasa puas yang membuatkan aku dan Zura hanyut. Terus hanyut dengan mengamalkan benda mungkar. Yang sebenarnya, menyekutukan Allah. Nauzubillah!! Sungguh aku menyesali perbuatan ku.

Petang itu, ketika dalam perjalanan pulang, entah kenapa tiba-tiba aku seperti ingin terbang ke angkasa raya. Kerana apa?

Kerana jejaka yang aku simpan rasa menegur aku buat pertama kalinya.

“Idayu.. Balik dah?” Tanya Isma ketika aku dan Zura melintasi kawasan parking motosikal.

Tergagap-gagap aku hendak menjawab. Maklumlah, sudah lama menyimpan rasa. Tapi aku tidak dipandangnya. Zura mencuit lengan aku, mengembalikan aku ke alam nyata.

“Ya…. ” Itu sahaja yang mampu terkeluar dari mulut aku.

“Idayuuu…..” Kata-kata Isma terhenti apabila Aira menegurnya tiba-tiba.

“Isma..jom tengok Hasimah. Kau duduk sini buat apa?” Aira mengingatkan Isma, sambil melihat ke arah kami berdua. Mencebek dia. Seolahnya hina sungguh aku dan Zura. Tidak layak dilayan seperti manusia lagaknya.

“Okay.. Jom.” Agak lemah suara Isma membalas kata-kata Aira. Seperti belum puas dia berborak dengan aku.

Itu apa yang aku rasakan.

“Kau tengok lah si Aira. Nanti dapat juga bahagian dia ni. Biar dia rasa sikit pengajaran. Mulut jahat sama sahaja dengan Hasimah!” Aku mendengar Zura menggumam. Marah sungguh dia. Aku faham perasaannya, sementelahan aku juga merasakan perkara yang sama.

“Dia mendapat juga nanti.. Setuju?” Aku akhiri dengan ketawa gembira.

Pada aku, selepas ini giliran Aira. Ketika itu, hait kami berdua dihasut iblis dan syaitan yang sememangnya suka menyesatkan. Kami berdua rasa menang! Rasa gembira melihat orang yang selalu menyakitkan hati kami menemui sengsara dan balasan masing-masing. Terbuai sungguh kami.

Malam itu, dirumah selepas maghrib melabuhkan tirainya aku dan Zura berhadapan di tengah ruang tamu. Dikiri kanan tangan kami, ada sekuntum bunga kantil yang telah sedia untuk kami “loloh”.

Menurut wak. Sekiranya mahu lebih ampuh, sepanjang 3 hari kami perlu me”loloh” bunga kantil seperti memberi makan kepada jasad kami agar susuk yang kami pakai lebih kuat pancarannya.

Sekali lagi, malam itu kami melafaz mantera. Dihadapan kami berdua, berkepul-kepul asap dari dupa kemenyan yang baru kami hidupkan. Dengan mata terpejam, nafas kami tarik sedalamnya…

“Sir kang tidak puji marang uwong
Nglangkahi kantil mlaku ning aku
Melua kanti mbuka ati slirane…….”

Sehabisnya bacaan kami lafazkan, kedua kuntuman kembang kantil hilang dalam mulut kami berdua. Sekonyong-konyong terasa seperti satu rasa sejuk yang tidak terungkap mengalir melalui tenggorok kami. Terlepas satu helaan nafas yang agak panjang, bersama keluarnya wangian semerbak bau bunga kantil dari rongga hidung.

Ketika mata kami buka, melopong dan membulat mata aku. Dihadapan aku, Zura kelihatan sangat cantik dan ayu. Entahlah, tiada yang berubah pada raut wajah Zura. Cuma aku seolah tidak puas memandang wajahnya ketika itu.

Pada raut wajah Zura yang berhadapan dengan aku pula, bukan main lagi dia menenyeh mata. Menggosoknya beberapa kali. Seperti bukan melihat aku pula.

“Ayu…..” Hanya itu yang Zura katakan sebelum kedua tangannya menekap ke kedua belah pipi aku.

“Kenapa??” Aku tanyakan kepadanya.

“Betul.ke kau ni. Cantiknya. Putih melepak. Jerawat pun dah hilang dah.”

“Cantik kau beb…cantik….” Puji Zura sungguh-sungguh.

“Ish..betul ni?”

Aku segera membuka sila, cuba berdiri. Sekejap sudah aku menyelongkar laci kabinet tv. Di situ ada cermin yang aku ingat Zura ada menyimpannya selalu. Cermin itulah juga yang aku selalu gunakan, merenung wajah aku yang kusam. Memicit jerawat, dan berangan-angan agar suatu hari nanti aku juga akan lawa seperti orang lain.

Sebaik tangkai cermin dapat aku genggam, terlepas semula dari pegangan bila Zura tiba-tiba menepuk bahu. Kuat juga. Tersentak aku.

“Kau gila? Lupa dah?” Zura kelihatan cemas.

“Ffuuhhhh…nasib baik kau ingatkan aku Zura. Naya… Ish buang ajelah cermin ni. Silap-silap aku lupa!” Berterima kasih aku kepad Zura yang mengingatkan pantang larang 7 hari itu.

Nyaris-nyaris hendak aku melihat cermin. Mujur diingatkan semula. Jika tidak, entahlah.

Kami saling berpandangan. Sekali lagi tangan kedua kami memegang wajah di antara kami silih berganti. Seolah tidak percaya.

Malam itu, kami cuba melelapkan mata. Rumah sewa hanya ada dua bilik. Aku dan Zura mengambil keputusan untuk menjadikan bilik yang lagi satu, khas untuk menyimpan pakaian. Manakala, kami berdua berkongsi bilik utama.

Korang, malam itu…

Bila kepala bertemu dengan bantal, telinga kami berdua menangkap bunyi seakan suara orang mengerang kesakitan. Tepat, di luar jendela bilik kami.

“Idayu…. zura…. Maafkan aku!!”

“Aku janji tak hina korang lagi. Maafkan aku..sakitnya Idayu…Zura….”

Mulanya aku sangkakan hanya mainan perasaan. Lama kelamaan semakin kuat pula bunyinya. Aku bingkas duduk di birai katil. Rupanya Zura juga sama. Kami berpandangan sebelum perlahan-lahan merapati jendela.

“Idayuu…..”

“Zuraaa…”

“Maafkan aku…maafkan aku…” Semakin jelas suara itu yang memohon maaf dan ampun dari kami berdua. Selepas itu, hanya esakan dan sedu sedan sahaja mengiringi seruan-seruan nama kami bersilih ganti.

Aku memberanikan diri, memegang sedikit bahagian kunci jendela. Jendela kami berupa panel cermin yang agak gelap juga.

Zura menggeleng kepala. Terlihat raut wajahnya tidak mengizinkan aku membukanya. Namun hati aku kuat mengatakan, itu sememangnya suara manusia. Bukan gangguan.

Jendela kami menghadap ruang koridor rumah.

Sebaik aku buka sedikit, mengintai di sebalik rekahan panel cermin, terkejut aku sehingga mengundur ke belakang bila nun di luar koridor kami, terjengul wajah HASIMAH!!!

Zura segera membuka dan melihat sama.

“Kau buat apa sini? Balik!!!” Jerit Zura memberanikan diri.

“Zura.. Maafkan lah aku. Sakit.”

“Idayu… Mana Idayu? Maafkan lah aku…sakit ni…sakiitttt…” Ucap Hasimah sambil memegang seluruh wajahnya yang dipenuhi jerawat dengan nanah bisa.

Disekitar mulutnya pula, terlihat kesan darah mengering. Di tangan sebelah lagi, memegang sapu tangan yang ada kesan darah basah dan kering, hampir bertukar semua dari warna putih kepada kemerahan.

“Balik lah… Balik. Kau datang dengan siapa??” Aku sedikit melaung.

Peliknya, walau ada sekelumit rasa kasihan melihatkan Hasimah begitu, namun rasa puas mengatasi segalanya. Aku seolah tidak ada rasa hendak memujuk dirinya, melainkan mengharapkan agar Hasimah pulang sahaja.

Entah bagaimana lah dia dapat ke rumah kami malam itu. Sudahlah begitu, di tengah-tengah malam pula. Sebagai perempuan kurang siuman ketika itu aku lihat dirinya. Menangis. Tersedu sedan. Dengan mulut berdarah-darah. Di dada bajunya juga ada kesan darah mengering.

Hasimah menangis-nangis di halaman rumah kami. Lebih tepat aku katakan di koridor rumah. Bimbang jiran terjaga, aku mengugutnya untuk pulang sahaja.

“Kau balik sebelum aku baling kau dengan pasu bunga ni!!!” Marah aku sambil mengagah hendak membaling pasu bunga hiasan di dalam bilik kami. Zura hanya tersenyum dan mengiakan.

“Idayu…Zura.. Maafkan aku…toloongggg….aku janji..aku balik. Aku tak hina korang…tolongggg…” Merayu-rayu suara Hasimah. Hilang kecantikannya dengan wajah yang licin gebu, tinggal jerawat sahaja memenuhi setiap inci wajahnya. Bernanah. Jijik sesiapa yang melihat.

“Nanti aku fikirkan. Kau balik. Aku dengar lagi suara kau. Aku baling pasu ni. Biar pecah muka kau tu nanti!!”

Kebencian aku pada Hasimah tidak dapat aku bendung. Apatah lagi mengingatkan kata-kata hinaan dan caciannya kepada aku dahulu. Zura juga menyetujui percakapan aku. Dia juga nampaknya tidak berminat hendak bercakap dengan Hasimah.

“Balik!!” Tengking Zura agak kuat.

Aku melihat kelibat Hasimah membelakangi jendela kami. Dalam jarak hampir 5 kaki, aku menutup tingkap.

Tersenyum puas aku melihat Zura. Begitu juga Zura bila memandang aku. Puas hati kami.

Ketika itu, aku bukan lagi aku. Aku tahu. Hitam hati kami. Entahlah kuasa apa yang merasuk kami berdua hingga tergamak bertindak sekejam itu.

Selepas pulang sahaja Hasimah, kami kembali ke katil. Merebahkan diri dan terlelap. Esok kerja seperti biasa. Jika benar kata Zura aku kelihatan semakin cantik tidak seperti biasa, tidak sabar pula hendak melihat reaksi rakan-rakan tempat kerja kami. Terutamanya Aida!!

Kami berdua tidur dalam senyuman dan dendam membalas segala caci maki dan hinaan yang kami terima selama ini. Bertambah dalam senyuman dan rasa gembira di hati mengingatkan Isma yang tadi siang melontar senyuman dan menegur aku ketika hendak pulang.

Bahagia!!

Puas!!!

Itu yang ada dalam hati. Hasimah? Biar kau rasa. Jadikan pengajaran!! Hahahaaha….

Esok pagi, ketika hendak keluar bekerja, aku membuka pintu. Menguncinya kembali, dan menuju ke pagar rumah.

Seperti biasa, aku buka mangga yang mengunci pagar rumah kami.

Mangga?!!!

Kunci??!!

Baru aku tersedar. Jika pagar dan mangga masih berkunci sehingga pagi itu ketika kami mahu keluar bekerja, bagaimana Hasimah boleh sampai ke koridor dan menangis di hadapan jendela rumah kami??!!!!

Melompat??!! – Mustahil. Pagar setinggi 7 kaki hendak dilompat pula. Lagi dengan keadaannya begitu?

Kumpil??!! – Tiada kesan kumpilan pada mangga atau pintu pagar. Semuanya sama seperti petang semalam ketika kami pulang.

Ah, sudah!! Takkan hantu Hasimah? Sudah matikah dia??!

Jantung aku mula berdebar dan berdegup kencang tidak seperti biasanya.

“Zura….” Aku memanggil Zura yang dibelakang aku ketika itu. Bila aku toleh, Zura juga kelihatan terkaku. Mungkin dalam fikirannya sama dengan apa yang aku rasakan. Dia hanya menggeleng-geleng sahaja.

Dalam perjalanan kami pagi itu, beberapa kali kereta dan motosikal yang berselisih dengan kami membunyikan hon. Si jejaka-jejaka yang memandu atau menunggang pula bersiul-siul ke arah kami.

Tersenyum-senyum aku dan Zura.. Benarlah susuk kembang kantil mula menampakkan kesannya.

Malam ini, mesti aku dan Zura ulangi ritual seperti yang telah diingatkan. Biar ampuh, seampuhnya susuk yang kami pakai. Puas hati kami.

Sehinggalah sampai di tempat kerja, suara siulan dari lelaki-lelaki yang sedang memakir motosikal atau sedang “thumb print” berulang kali kedengaran.

“Idayu..Zura….”

“Phheewiitt…nanti makan sama ye…”

“Wanginya Idayu dengan Zura. Geram abang….”

Ada sahaja suara-suara nakal menegur kami berdua. Aku dan Zura hanya tersenyum puas dan kegembiraan. Menunduk dan mengangguk sahaja membalas usikan-usikan mereka. Pendek kata, mana sahaja kami lalui seakan terkembang kempis hidung lelaki-lelaki itu menghidu bauan dari kami. Sedangkan kami berdua hanya memakai minyak wangi biasa kegemaran kami.

Pelik? Jangan pelik..segalanya boleh berlaku kan?

Kalau dahulu, bukan usikan nakal berbaur memikat. Hanya hinaan dan cacian yang kami dengari. Usikan pula lebih kepada menyakitkan hati.

“Ooo..bergegar dunia. Gempa bumi ni.”

“Dua dara jalan melenggang lenggok… Tapi ouutttt!!!”

“Perghhh.. Tak cukup sekampit beras ni..kena seguni kalau kahwin dengan diorang.”

Begitulah lebih kurang sedikit sebanyak kata-kata usikan yang kami terima. Berbeza benar dengan apa yang kami dengari pagi itu.

Sehinggalah kami berselisih dengan Aira. Cuma dia sahaja masih tegar dengan raut wajah tidak puas hati. Ketika melalui kumpulan mereka, aku terdengar Aira sedang berbual rancak menceritakan keadaan Hasimah.

“Dia cuti dulu. Boss bagi mc seminggu. Mulut tak boleh cakap. Batuk je berdarah-darah.”

“Lemah betul aku tengok dia malam tadi. Berjalan pun tak boleh. Baring aje.” Ujar Aira lagi.

“Katanya, tengahari ini atau petang ni mak dan ayahnya datang. Doktor kata, macam takde apa-apa. Cuma kering tekak. Tu batuk.”

“Tapi weih..kesian muka dia. Jerawat bernanah.”

Kawan yang lain hanya menunduk tekun mendengar cerita Aira. Berselang dalam 5 loker sahaja dari tempat aku dan Zura. Jelas sungguh lah cerita. Dan aku pasti perihal Hasimah yang diceritakan.

Kami berdua segera hendak berlalu dari situ sebelum nama aku dipanggil.

“Idayu!!”

“Jangan-jangan kau tuju-tuju Hasimah tak? Hah??! Ke kau Zura?”

Berderau rasanya darah naik ke muka. Macamana mereka tahu ya? Zura juga tertunduk-tunduk.

“Ish..diorang ni mana nak jumap bomoh. Bomoh pun nangis kot tengok diorang.” Jawab satu suara. Walau agak sebal untuk aku dan Zura dengari, tetapi cukup lega rasanya.

“Ye tak ye kan. Weh..cantik dah sekarang. Bukan main licin muka berdua ni. Amboii..jenama apa pakai ni?”

“Susuk?” Tanya Aira lagi.

Sekali lagi aku dan Zura rasa sedikit goyah.

“Ermm..tapi tak mungkin. Susuk pun gugur kalau duduk kat badan korang.”

“Hahahaha..kan..kan…” Melantun-lantun ketawa yang lain mendengarkan ucapan Aira.

“Kalau kau tak nak muka kau pecah, atau rambut kau yang cantik tu gugur..kau tutup mulut?!! Jangan jahat sangat!!”

Tiba-tiba berdesing telinga aku mendengarkan Zura menjawab. Semangat aku jadi memuncak sama, apabila Zura menyatakan rasa hatinya ketika itu.

“Haaa..betul tu Zura. Nanti kalau muka pecah, rambut gugur hampir botak, baru ada akal!”

Aku sedikit menjerit.

“Eh, biadap. Tak guna perempuan ni!!!” Jerit Aira sebelum di tenangkan oleh yang lain.

Aku dan Zura berlalu meninggalkan kumpulan yang tiada ketua itu. Bagi aku, mereka umpama anjing menyalak dan lalat yang mengerumi bangkai. Dan bangkai itu adalah ketua mereka. Hahaahhaa…

Satu yang menarik minat aku hanyalah, cerita Aira tenang Hasimah yang katanya tidak boleh bercakap selain batuk dan batuk, serta keadaannya yang lemah hanya terbaring sahaja.

Jika Hasimah begitu, siapa pula yang datang ke rumah kami?

Apakah hanya perasaan aku? Tetapi Zura juga turut melihatnya.

.
.
.
.
.
.
.

Aku sambung malam esok ya.. Ok bai. Semua nama dan watak tiada kaitan dengan yang hidup.mahupun yang telah meninggalkan kita ya. Hanya olahan sahaja. Baca sebagai hiburan dan jadikan teladan ya. Yang baik kita ambil, yang tidak elok yang pi cari pula pakai sususk kembang kantil. Bahaya jika tersalah langkah. Tiada yang elok berdampingan dengan makhluk dan kuasa lain, melainkan Allah. Ingat tu.

Advertisements

One thought on “[Cerita Mdm Yui] Susuk Part II

Add yours

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: