[Cerita Mdm Yui] Susuk Part III

Cerita asal dipetik daripada facebook Mdm Yui #ceritasatumalam

#stockmerindingbacaanberteman – #SUSUK

Episod 3

Usai mengalas perut sewaktu rehat, dengan hati yang senang sekali… Pertama kerana perut diisi dengan seadanya, kenyang..
Kedua, kerana melihat riak wajah Aira yang terkesima dan terdiam dengan kata-kata kami berdua. Puas rasanya. Lebih bagus merasakan kemenangan sebegitu dengan orang yang selama ini menindas aku dan Zura.

Kami berlalu dengan rasa penuh manis. Tanpa aku sedari, susuk yang kami amalkan mula memakan diri sendiri. Hati kami jadi hitam. Penuh dengan bunga-bunga dendam yang tiada pernah manis akhirnya.

Tengahari itu, ketika menikmati makan tengahari beberapa orang pemuda dari bahagian berlainan tiba-tiba mendekati kami. Menawarkan hidangan yang telah mereka bayar siap. Bermanis senyuman dan bercakap penuh sopan. Aku dan Zura hanya tersengih manja.

Biar korang tahu, insan yang pernah dihina dulu kini menjadi kegilaan semua. Hahahaha…

Tidak lama aku melihat Isma mendekati meja kami.

“Boleh saya makan sama?” Tanya Isma dengan tiba-tiba. Tidak seperti biasa, dia hanya berseorangan.

Aku terkejut, lansung beranjak sedikit. Memberi ruang kepada Isma untuk mengambil tempat, betul di sebelah aku. Riak teruja tidak dapat aku sembunyikan.

Ya lah, manalah pernah aku dapat berdekatan dengan Isma sebegini rapatnya, boleh dikatakan bersenggol bahu, berlaga pinggan. Selama ini, dari jauh sahaja dapat aku mengekori setiap langkah insan yang ada aku pendam rasa.

Zura dihadapan tersengih-sengih.

“Makan apa?” Tanya Isma. Pertanyaan yang ditujukan kepada aku sebenarnya.

“Err…aaaa.. Ermm..nasi, ikan goreng.” Aku terketar-ketar menjawab. Gugup!!

“Oh.. Nak rasa sikit?”

Aku membuntang mata merenung Zura. Zura hanya terangguk-angguk.

Gila kah Isma?

Sanggup mengambil nasi dan lauk makanan aku? Semacam kekasih pula aku rasakan ketika itu.

Sebaik sudu hendak mendekati bibir Isma, tiba-tiba…

“Plang…!!”

Terpelanting sudu besi bersama nasi dan sedikit isi ikan yang telah aku korekkan.

“Isma!!!”

“Gila kau ni? Badak ni baru je pakai pencuci muka hilangkan kerak, daki muka dia tu!!”

“Takkan kau dah gilakan dia? Kau ni kenapa Isma!!”

Melengking suara Aira. Membuatkan beberapa mata menoleh melihat adegan di meja aku dan Zura. Serta merta meruap rasa darah melalui muka, memerah mata aku, dan memanas rasanya sehingga ke ubun-ubun!

Sial Aira!!

‘Kau memang nak merasa natijah dari mulut jahat kau ni.’

Aku mengetap bibir. Menggumam dalam hati.

Zura sudah menggenggam erat garfu dan sudunya. Silap haribulan, tercakar muka perempuan ini dengan garfunya.

Aku menggeleng kepala. Tidak boleh terlalu ketara. Pada aku, Aira akan diajar hari lain pula.

“Kau kenapa Aira?”

Sedikit menjerit Isma. Marah sungguh kelihatan raut wajahnya ketika itu. Berasa diganggu agaknya.

“Kau tanya aku? Kau tu kenapa? Hasimah tengah begitu, kau semacam kerbau dicucuk hidung, terhegeh-hegeh pada badak berdua ni!!!?”

Keras suara Aira membingit di gegendang telinga kami.

Semakin lama, ramai pula mendekati dan mengerumuni meja makan kami. Terhenti selera hendak menyambung makan tengahari itu.

“Eh, biarlah. Aku nak makan dengan siapa. Ikut suka aku. Kau jangan sibuk. Memalukan diri di sini!”

“Aku bukan suami Hasimah pun yang kau nak sibukkan!”

Marah Isma kepada Aira. Terkejut bukan kepalang Aira mendengarkan kata-kata Isma. Sebelumnya mereka memang rapat, kerana Isma berkasihan dengan Hasimah, manakala dia bermain cinta dengan rakan Isma, si Hadi.

“Kau pergilah Aira. Aku dengan Isma nak makan di mana ikut suka kami. Kan Isma?”

Bertambah marah raut wajah Aira bila Hadi pula menyelit sama. Menambah bara dihati Aira. Sudahlah Hasimah tidak diketahui punca tiba-tiba batuk berdarah dan penuh jerawat pada wajahnya. Kini Isma dan kekasihnya sendiri si Hadi pula membuat onar.

“Kau…!!! Kau pun sama. Betina syaitan!!!”

Jerit Aira sebagai orang tidak siuman melengking dan melantun-lantun suaranya, sebelum dia ditenangkan oleh rakan yang lain dari kumpulan mereka.

Sebaik ditenangkan, berhambur tangisan Aira di situ juga bila mendengarkan Hadi mendekati Zura dan berkata,

“Habis kerja nanti, saya belanja makan di kedai Satay kak Sah depan tu ok. Tunggu.”

Zura hanya mengangguk dan tersenyum melebar. Umpan sudah mengena.

Susuk Kembang Kantil semakin menyerlah auranya.

Tetapi, kedua kami yang dibuai asyik terlupa. Sate tidak boleh kami makan sepanjang mengamalkan susuk itu. Pantang larang yang bukan sebarang natijahnya.

Aku dan Zura melangkah pergi meninggalkan kantin. Dalam perjalanan juga, beberapa jejaka lain cuba merapati. Tidak kami peduli. Kerana hati aku sememangnya kepada Isma.

Zura pula tidaklah kisah ada kekasih atau tidak. Tujuan dia me”loloh kembang kantil hanya kerana ingin memberi pengajaran kepada perempuan bermulut puaka yang sedang batuk-batuk berdarah tersebut.

Namun, pucuk dicita ulam mendatang. Hadi pula mendekati Zura. Lagi sukalah hatinya, dapat pula menyakiti hati Aira yang sememangnya semua orang mengetahui akan akrabnya hubungan dia dan Hadi.

Dipendekkan cerita, petang itu pulang sahaja dari tempat kerja, Isma dan Hadi sedia menunggu di depan pondok pengawal. Untuk ke kedai kak Sah, hanya menyeberang jalan sahaja.

Sate yang dijual Pak Ajak memang sedap. Siapa yang tidak tahu. Aku dan Zura pun pernah makan di situ.

Sesampainya kami ke kedai, beriringan dengan Isma dan Hadi. Aku disebelah Isma, manakala Zura bersebelahan dengan Hadi.

“Pak Ajak..sate ayam 15. Daging 15.”

Hadi memesan makanan.

Aku sudah menahan kerutan.
Sate!!

Bahaya!

Namun bagaimana hendak aku ingatkan Zura yang kelihatannya agak hanyut pertama kali bermain cinta. Tak habis-habis merenung Hadi.

Sepanjang menunggu pesanan, berbakul-bakul kata pujian dari mulut keduanya kepada kami.

“Kenapa dari dulu, saya tak kenal Idayu. Cantik. Manis je.” Ujar Isma. Matanya tak putus merenung aku.

Tersipu-sipu aku dibuatnya. Segan merona merah diwajah.

“Eh Isma eh.. Aku pun lah.” Hadi pula menyampuk.

Tidak lama, ada terdengar sok sek sok sek. Rupanya dari geng si Aira dan Hasimah.

Aira yang berada tidak jauh, membengkak mata. Aku agak baru lepas menangis melihatkan kemesraan Hadi melayan Zura. Mengambilkan air minuman. Didekatkan penyedutnya, mengelap pula sisa air yang comot di bibir. Sempat aku jeling wajah Aira. Merah!!

“Gila kau Hadi!!!” Sedikit keras kata-kata dilemparkan sebaik sahaja mereka melalui meja kami.

“Nah…udah siap.”

Suara Pak Ajak memecah tawa. Entah apa yang kelakar, tapi kami berempat berasa senang sekali.

“Eh, kamu Idayu sama Zura kan? Aduh… Cakep! Cantik lho sekarang. Hihihi…”

Pujian dari Pak Ajak menambah keyakinan aku bahawa benarlah kami sudah mula dipandang oleh orang lain.

Ya, berkesan wak.. Berkesan.

Terdetik rasa bangga dihati aku. Zura juga aku lihat membalas pandangan kepada aku. Aku faham maksudnya.

“Zura, Idayu.. Jom makan.” Pelawa Isma dan Hadi hampir serentak.

Aku terkulat-kulat mencari alasan hendak bagaimana menolak pelawaan keduanya.

Zura hanya tersengih memerhatikan Hadi. Tidak lama, Hadi menyuakan secocok sate kepada Zura.

Sebaik tangan Zura hendak menyentuhnya, segera aku panggil Zura.

“Zura!!!”

Terkejut semua. Hadi juga berhenti dari terus menyua.

“Kita PANTANG makan sate kan. Manis!” Agak mendalam tona suara aku tekankan pada perkataan PANTANG!

Lantas aku membulatkan sedikit mata pada batang sate yang Hadi pegang mendekat kepadanya.

‘Kau nak hodoh balik ke Zura. Jangan buat pasal!!’

Jeritan tidak keluar dari rongga suara. Hanya dalam hati sahaja aku melontarkannya.

Zura agak kelam kabut. Aku kira baru dia teringat.

“Eh, arr..eh..ya tak ya.. Eh ya.. Tak boleh makan sate. PANTANG. Gugur ssuuuu….”

“Pap!!” Aku sepak kaki Zura di bawah meja. Hampir dia melepas rahsia. Aduhai!!!

“Pantang?”

“Gugur?”

“Apa tu?” Tanya Isma dan Hadi bersilih ganti.

Zura sudah menekup mulutnya. Tersasul dia sudah.

“Oh..tak. Kami masuk kelas kesihatan pemakanan. Aarrr.. Sate tak boleh makan. Pantang. Nanti gugur markah. Susu boleh..aaa..susu!!”

Eh apalah aku merepek!
Zura, cepatlah selamatkan aku yang nak selamatkan kau ni!!!

“Maksud Idayu, kami ada team. Setiap team ada markah. Nanti makan sate, gugur markah… Arrr..maksudnya kena tolak markah. Aaa..yaa..tolak markah!”

Sambut Zura. Fffuuhhhh!!!! Selamat.

“Oo..baguslah korang ni ye. Ok, tak pelah, lain kali kita pesan makanan lain. Hadi tak tahu tadi.”

Hadi menyimpul senyum. Isma pun mengangguk. Kami pula, melepas nafas lega tidak tersilap pilih makanan malam itu. Hendak menolak sebarangan, rasa teruja dijemput makan melebihi segalanya.

Malam itu, walau berkali-kali dipelawa oleh Isma dan Hadi untuk dihantar pulang, kami menolaknya.

Tidak mahu, mereka berdua tiba-tiba terhidu akan perbuatan kami.

“Rasa sekejap betul lah kan. Esok kita sarapan sama ye.” Ucap Hadi.

“Haah.. Korang ni wangi dia..aisshh..lain macam tau…” Ujar Isma pula.

Aku dan Zura mengangguk-angguk sahaja.

Malam itu, malam ketiga kami perlu menjalankan ritual me”loloh kembang kantil agar lebih kuat pancaran aura seri kami. Lalu, semakin menggila orang yang melihatnya.

Lantaran, dalam mantera yang dibaca, ada bahagiannya di mana kami perlu menyebut nama orang yang kami hajati.

Sebaik upacara ritual tersebut kami sempurnakan, entah dari mana terdengar semacam bunyi mantera disebut-sebut. Namun oleh satu.suara lain yang lebih mendayu dan sedikit menyeramkan bunyinya.

Tidak lama. Dalam tiga kali mengulangi mantera itu. Dan diam senyap selepas itu.

Aku dan Zura pula seperti biasa sahaja. Tiada apa yang kami rasakan.

“Ayu…Aira perlu diajarlah.”

Suara Zura memecah sunyi malam itu ketika kami berdua menontom drama di kaca televisyen.

“Ermm.. Setuju!” Jawab ku.

“Kau nak dia macamana?” Tanya Zura kepada aku.

“Kalau aku, aku nak biar mulut dia yang lancang tu mengelupas. Bau busuk. Sampai orang taknak dekat…errmmm…”

Aku mula membayangkan seorang demi seorang rakan Aira menjauhinya, dan mula bercakap mengenai busuknya dia. Haaa..sama sepertimana orang lain menjauhi kami sebelum ini.

“Eh..tak cukup tu. Aku kalau boleh, nak rambut dia tu pun gugur sehelai-sehelai. Botak sana sini. Haaaa..baru dia pandai diam!”

Tambah Zura. Malam itu kami berdua terkekeh-kekeh menahan tawa membayangkan Aira bermulut busuk dan rambut tobek gugur sana sini.

Mungkin dia akan ke tempat kerja bertudung pula. Hhaahahah.. Padan muka dia!!!

“Wehh..hati-hati sikit lepas ni. Jangan kita terlupa atau terlanggar pantang. Buruk padahnya.” Aku mengingatkan Zura.

“Ermm..ye lah..nyaris tadi aku nak termakan sate yang Hadi suakan. Hiiss….” Sedikit terangkat bahu Zura. Mungkin tidak sanggup membayangkan apa yang terjadi sekiranya dia termakan sate yang disuakan oleh Hadi petang tadi.

Malam itu, kami berbual-bual. Mengingatkan akan hal pantang larang yang perlu kami patuhi, dan segala macam lagi syarat yang kami tidak boleh langgar.

Keesokan harinya, ketika ke tempat kerja, seperti dijanjikan Hadi dan Isma menunggu kami di kantin. Kami makan bersama-sama. Masuk ke tempat kerja.

Entah bagaimana, sedang bekerja hari itu. Kami dikejutkan dengan suara tangisan dan jeritan seseorang. Cemas sungguh!

Semua terhenti, mendekati suara itu. Dari bahagian belakang, aku dan Zura tahu benar itu suara Aira.

Rakan-rakan seangkatan dan rapat dengannya sudah mengelilingi.

“Aira..kenapa Ni? Apsal kau tarik rambut kau macam tu?” Tanya salah seorang dari mereka.

“Aaaku tak tarik. Aku rasa semacam, aku lurutkan rambut. Tercabut ni. Gugur rambut aku!!”

“Aaaa…tolong lah aku.”

Hanya jeritan dan tangisan Aira kedengaran. Aku dan Zura menjungkit bahu sesama kami.

‘Aik..malam tadi baru minta rambut dia gugur. Dah jadi pulak?’ Detik aku dalam hati.

Hebat!!

(korang nampak? Betapa syaitan dan iblis bertepuk tangan dan mencucuh sumbu kebencian di hati kami. Yang akhirnya, jatuh Hukum…nauzubilah!!!)

Selepas itu, sebaik sahaja reda raungan Aira, aku dan Zura hendak balik ke kawasan kerja kami semula. Tiba-tiba, salah seorang kawan Aira mengeluh.

“Isshh…bau apa ni? Busuknya!!!”

Ketika aku dan Zura menoleh, kelihatan rakan Aira sedang mengipas-ngipas sesuatu sambil tangan yang sebelah lagi menutup mulut. Gayanya seperti hendak termuntah menahan gelodak di dalam perut.

“Apa?? Apa yang busuk??!!” Jerit Aira seperti kerasukan sudah gayanya.

“Isshh…kau..uwekkk…”

“Busuk gila mulut kau ni. Eeeeeee…..”

Tiada tapisan lagi, rakan Aira terus melepaskan rasa.

“Mana..mana ada…!! Bukan aku!! Aaaaa..bukan akulah!!”

Menjerit-jerit lagi Aira. Sambil menghembus-hembus nafas ke tapak tangan dan menghidunya.

Namun, akhirnya Aira seolah terdiam. Bila dia sendiri semacam tidak dapat menahan bau yang terbit dari mulutnya. Dapat aku dan Zura perhatikan gerak geri Aira ketika itu.

Seramainya orang berkerumun tadi semakin bubar, sedikit demi sedikit. Bila diwajah masing-masing seolah tidak dapat menahan bau yang terbit. Semua menutup.hidung termasuk aku.

Aira?

Dia hanya menekup mulut dengan sebelah tangan. Sebelah lagi, terus mengusap dan melurut rambutnya. Hanya airmata tidak henti-henti mengalir dipipi. Terhenjut-henjut bahunya menahan sedu sedan.

Akhirnya, aku dan Zura dapat perkhabaran, Aira mengambil cuti mengejut.

Aku dan Zura?

Tersenyum puas.

Sehari demi sehari, sehingga lah genap 7 hari kami tidak boleh melihat secara terus dengan cermin, malam itu berbekal kan semangkuk bunga kantil setiap seorang, kami menghadap cermin tepat jam 12 tengah malam.

Alangkah terkejutnya kami, kerana wajah kami keduanya sungguh cantik dan berseri. Lain sekali rasanya aura menjadi wanita ‘cantik’ sekarang ini.

Malam itu, kami berdua menjerit kegembiraan. Dalam tempoh itu juga, aku dan Zura mendengar berita tentang Hasimah yang masih menderita batuk berdarah dan berjerawat wajahnya.

Dari rakan lain, dikhabarkan juga Hasimah tidak henti merayu-rayu. Mohon ampun dan berjanji tidak akan berkata jahat lagi. Puas hati kami!

Baru kau tahu natijahnya bermulut puaka! Puas rasanya.

Cuma, meraungnya Hasimah tidak diberitahu kepada siapa dia memohon ampun.

Aku dan Zura, terus hanyut dengan mainan tipu daya syaitan dan iblis yang terus-terusan menyesatkan kami.

Aira pula dikhabarkan meracau-racau mengenangkan rambutnya yang berguguran. Mulutnya tidak mahu dibuka. Busuk katanya.

Aku dan Zura belum ada hati hendak menarik semula sumpahan kami pada mereka. Pada aku sendiri, biar lama sedikit mereka menanggungnya. Sedangkan aku dan Zura, 13 tahun menjeruk rasa dan menahan hinaan. Adakala sehingga kami berasa hendak membunuh diri pun ada. Mujur sesama kami menguatkan semangat yang ada.

Hari demi hari, tanpa kami sedari, sebulan telah berlalu. Betapa kami membelakangkan agama untuk kepuasan sendiri.

Jika aku kenangkan, sungguhlah jijik rasanya. Dipendekkan cerita, pada satu hari, Zura pernah beritahu kepada aku. .

Entah kenapa tiba-tiba sahaja dia seolah bermurung sepulangnya dari tempat kerja.

“Ayu…aku rasa tak sedap hati lah.”

“Nak jumpa dengan wak tu, aku rasa macam …”

Zura berhenti seketika, berjeda. Menarik nafas dia. Seolahnya ada masalah yang dipendamkan.

“Kenapa? Macam apa?” Aku pelik dengan kelakuan Zura petang itu.

“Aku…nak minta wak keluarkan balik lah benda ni. Entahlah, walaupun aku dah dapat apa yang aku nak…tapi…macam ada sesuatu rasa tak kena. Tak sampai… ”

Ujar Zura.

“Eh, kau dah kenapa?”

“Bukan kita nak bunuh pun budak berdua tu. Nak bagi diorang tu sedar je.”

“Aku dengar Hasimah pun tak teruk mana, Aira pun macam tu je…”

Hati aku benar-benar telah tersasar jauh dari landasannya.

“Kalau kita mati? Macamana?” Tanya Zura. Pertanyaannya menghentikan langkah aku. Tidak semena-mena, meruap rasa darah menyerbu ke muka.

“Isshhh..kau ..kau cakap apa ni?”

“Takde apa. Ermmm.. Tengah bulan nanti, kita jumpa wak. Isma dah janji nak kahwin dengan aku. Kalau aku buka nanti macamana?”

Aku sudah mula memikirkan kesannya nanti. Terutamanya hubungan aku dengan Isma.

“Ayu… Aku tak rasa betul dah apa kita buat ni.”

“Aku tak sedap hati…” Raut wajah Zura bagaikan menahan sesuatu. Tidak lama aku lihat, empangan air matanya gugur jua. Satu persatu air jernih membasahi pipi.

Aku akhirnya terdiam. Walau kurang bersetuju dengan pendapat Zura. Pada aku, sekurangnya biarlah aku mengikat tali pertunangan dahulu dengan Isma. Malu aku, semua keluarga telah mengetahuinya…

Esok hari, aku ingat lagi. Hari Ahad. Pagi-pagi Zura mohon keluar dahulu. Katanya ada perkara hendak diuruskan. Pelik juga, tidak pernah dia ke mana-mana tanpa aku.

Kenapa Zura pergi tak ajak aku?

Terkocoh-kocoh gayanya. Seperti serius benar dia hendak menyelesaikan urusan. Aku ketika itu baru sesudah mandi, hanya terangguk-angguk sahaja.

Mungkin ada perkara mustahak dan peribadi untuk Zura selesaikan ni. Pada firasat aku begitulah.

Hari itu, aku menunggu Zura sambil mengemas sedikit rumah. Menanak nasi, dan menggoreng sayur. Sebaik sahaja semua selesai, menjelang tengahari aku menanti Zura. Jarang sekali dia makan di luar tanpa aku.

Aku tunggu juga. Bila Zura hendak pulang ni.

Tidak lama aku mendengar suara memanggil nama aku.

“Kak Idayu!!!!”

“Kaaakk…o kaaakk..!!!”

“Assalamualaikum……”

Aku yang ketika itu baru hendak masuk ke bilik air. Menghentikan seketika hajat. Aku menjenguk dan melihat kelibat si Fahrim di luar pagar rumah sewa kami.

Fahrim adalah remaja anak jiran berselang 3 rumah daripada kami.

‘Eh…ada apa pula Fahrim mencari aku?’

Segera aku menghala langkah ke hadapan.

“Hiem….ada apa?” Berkerut dahi bila Fahrim nampak tergopoh gapah begitu

“Kak…kak Zura kak.. Kemalangan kat depan tu.. !!”

“Ya Allah!!!!”

Sebaik perkataan ALLAH aku sebut, entah kenapa berdetak sayu hati aku.

Apakah kerana pertama kali setelah aku memasang susuk kembang kantil aku terlupa, atau sayu kerana perkhabaran yang dibawa..

Terkaku aku seketika. Inikah puncanya Zura berkelakuan agak aneh dua tiga hari ini?
.
.
.
.
.
.
.
.
Untuk malam ini, setakat ini aku karangkan ya..nanti aku sambungkan lagi untuk makanan korang malam esok.

Nantikan sambungannya ya? Jadikan cerita-cerita aku sebagai teladan semata-mata. Watak-watak pula telah aku ubah ya.

Advertisements

One thought on “[Cerita Mdm Yui] Susuk Part III

Add yours

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: