[Cerita Mdm Yui] Susuk Part IV

Cerita asal oleh Mdm Yui

#ceritasatumalam

#stockmerindingbacaanberteman – #SUSUK

Episod 4

“Kak…cepat kak!!” Laungan Fahrim menyedarkan aku dari kelekaan melayari perasaan.

“Oh..aaa..ya..ya….!!”

Sambil aku memusing, setitis demi setitis air mata membasahi pipi. Tidak aku sangka, kebimbangan Zura sehari dua ini ada sebabnya. Mengapa aku yang gagal mengesan akan keadaan ini?

Sungguh hati terkhilaf. Jauh tersasar.

“Kak.. Saya tunggu ya…” Ujar Fahrim lagi.

“Akak siap kejap. Ambil apa yang perlu…” Balas aku lemah.

Sebaik bersiap ala kadar, aku segera bergegas menutup jendela dan pintu, menguncinya lalu membontoti langkah Fahrim yang cemas.

Aku menaiki keretanya. Di simpang besar jalan hadapan khabarnya Zura kecelakaan.

Dalam kereta, sempat aku bertanya akan keadaan sahabat ku itu kepada Fahrim.

Fahrim hanya berdiam, dan meminta aku banyak bersabar.

Baru aku teringat, untuk menghubungi keluarga Zura juga di Negeri P ketika itu. Perjalanan mereka ke rumah sewa kami, mungkin hanya mengambil masa dalam 2 jam setengah sahaja.

Setelah memberikan perkhabaran duka tersebut, aku segera menutup talian telefon. Tidak sanggup aku mendengar ibu Zura yang meraung-raung meratapi nasib Zura.

Zura hanya ada ibu dan 2 orang abang. Ayah telah lama menemui pencipta. Kira-kira Zura dalam umur lingkungan 10 tahun lagi. Sama juga seperti aku. Bezanya, adik beradik Zura sangat menyayangi dirinya walaupun Zura dan aku mempunyai fizikal tubuh yang hampir sama. Berbeza dengan aku!

Sungguh aku cemburu.

Sebaik tiba di tempat kejadian, aku melihat dari jauh tubuh Zura yang terperosok di bawah perut lori membawa muatan simen dan pasir.

Separuh badannya dari paras bawah dada ke kaki, aku lihat ditutupi kertas dan kain, entah dari mana datangnya.

“Kak… Kak Zura parah kak.. Tak mungkin selamat. Kalau pun lori dialihkan, kak Zura akan menemui maut di situ juga.”

“Maaf kak..teruk sangat keadaannya. Dia masih boleh bercakap, sepatah dua. Nak cakap dengan akak.”

“Dari tadi kak. Tunggu polis datang je, sebab ambulan kata kalau minta lori alih, kak Zura…..”

Demikian sedikit sebanyak yang dijelaskan Fahrim. Serta merta menggeletar aku di dalam kereta. Ketika itu, hendak melangkah turun juga aku rasa tidak mampu. Lembik lutut seperti tiada bertulang.

“Ya Allah, Zura….Zuraaaa…..” Kabur mata dengan air tangisan yang aku sendiri tidak pasti mampu berhenti atau tidak.

Setelah aku menarik dan melepaskan nafas, sedalam-dalamnya aku mengumpul kekuatan. Cuba mengagahkan diri, mendekati Zura.

Di sana, aku lihat kepala Zura di lapikkan dengan alas, seperti bantal kecil. Pasukan paramedik sedia mengelilingi Zura ketika itu.

Setelah diberitahu, aku rakannya yang paling rapat dan dibenarkan mendekati Zura, aku melutut.

“Zuuraaaa……” Tergagap-gagap aku. Tidak keluar sangat sebenarnya suara. Entah tersimpan di mana, jauh dikerongkong tersekatnya.

Aku lihat, Zura sedaya upaya dengan payah sekali mencari suara aku. Merenek peluhnya di sekitar wajah. Dari telinganya, keluar darah merah pekat seakan tidak berhenti. Juga dari hidung, dan mulut.

“Aayyuuuu….. Aaa..yyuuuu…” Hanya itu dilafazkan. Sedikit mengangguk kepalanya menggamit aku mendekat.

Aku tidak lagi dapat menahan tangisan!!

Sungguh, jatuh segala rasa..menyebak di dada..aku tumpahkan lewat air mata. Aku menunduk. Bau hanyir darah, entah apa lagi menusuk hidung. Aku sendiri tidak berani melihat keadaan Zura di sebelah bawah sana. Menghadap wajahnya yang sungguh payah begitu pun, aku sudah tewas. Apatah lagi yang lain-lain!!

“Aa..yuuuu….hausss!!” Zura melilau. Aku cemas.

“Air..!! Air mana air!!!” Aku sedikit menjerit. Namun,bila aku terpandangkan pasukan paramedik, mereka hanya menggeleng, sebelum salah seorang mendekati aku, membisikkan,

“Maaf cik! Tak boleh bagi. Normal pesakit haus, sebab darah banyak sangat hilang!” Ujarnya sedikit tegas.

‘Melopong mulut aku. Zura, maafkan aku. Tak boleh Zura.’ Namun, kata-kata itu hanya berkumandang dalam kepala aku.

Zura hanya melempar pandangan, dengab nafasnya yang turun naik. Dia kelihatan sangat lesu, lain sungguh rautnya ketika itu. Tidak seperti sebelumnya. Mungkin dia faham, lalu dia berdiam seketika, sebelum membisikkan sesuatu kepada aku.

“Aayyuuu….bbbuuuuang!” Itu yang Zura bisikkan dalam kepayahan.

Aku tidak menjawab. Hanya mengangguk sahaja. Mahu bagaimana aku membalas? Aku tahu apa yang dimaksudkan Zura.

“Jangaannnn laaam….bat maacaaam aakuu!!!” Tutur Zura lagi dalam kepayahan.

Ya Allah! Ketika itu, baru sedar bahawa pengajaran dihantar melalui Zura. Aku hanya mengangguk.

“Minta maaa…aaff..deennngaaann Hassiimah, Aaiiraaa!!” Setitis airmata jatuh dipipinya..

“Maaakk… ” Ucapnya..

“Mak dengan abang Adi dan Asif dalam perjalanan. Sabar Zura. Bertahan…” Aku hilang dalam kesedihan dan esakan sendiri.

“Ttaaakk..” Dalam kesusahan begitu, Zura menggelengkan kepala.

“Maaafffkaaan akuu ye…” Ucapnya lagi. Sebelum nafas turun naik. Seperti tidak terkawal.

Aku cemas!!

Dipendekkan ceritanya, Zura seperti payah hendak ‘pergi’. Aku tahu mengapa.

Aku tidak tahu mahu melakukan apa ketika itu. Buntu. Bagaimana hendak aku membantu sahabat aku Zura!!

Entah dari mana, tiba-tiba aku ditegur.

“Assalamualaikum… “

Ucap satu suara dari belakang. Agak garau. Bila aku menoleh, seorang lelaki tua yang selayaknya aku panggil pakcik turut duduk di samping aku dan Zura.

Pakcik tersebut merenung aku. Melihat Zura dan kembali merenung jauh ke dalam mata aku.

Entah bagaimana hendak aku jelaskan, hati tiba-tiba berdetak. Rasa tidak sedap.
Jantung mengepam laju, dan darah seolah mengalir tidak keruan. Sejuk dihujung jari. Menggeletar tiba-tiba.

Pakcik tersebut tidak bercakap banyak, tetapi seolah menghantar soalan kepada aku. Dan aku bagaikan memahami, terus mengangguk.

Dari bibir yang menggeletar, aku menjawab antara dengar dan tidak. Sangat perlahan! Hampir tidak keluar suara dari tenggorok.

“Sssuuuu…sssuukkk!!” Tutur aku dalam kepayahan. Di bawah lutut aku, Zura mengerang bagaikan lembu disembelih. Menggeruh bunyinya. Selainnya, tentang bagaimana rupanya ketika itu, biarlah aku rahsiakan.

“Air!” Ucap pakcik tersebut.

Aku menggeleng! Tanda tidak dapat aku sediakan.

Pakcik itu segera menoleh, dan menanyakan kepada orang yang melihat.

“Air. Bagi saya air.” Jelas sekali suara pakcik tersebut.

“Tak boleh encik. Ikutkan memang tak boleh.” Balas saru suara. Daripada pasukan penyelamat yang berpakaian serba putih. Beberapa orang dari mereka mendekati sambil melakukan apa yang sepatutnya.

“Saya minta maaf juga. Mangsa ni tak dapat ‘pergi’ kalau dibiarkan. Terseksa dia. Dengan izin Allah juga.”

“Ada ‘sesuatu’!!” Sedikit tegas pakcik yang tidak aku kenali namanya itu, menjelaskan situasi.

Zura pula semakin tidak keruan. Membuntang matanya, mencecel memandang ke atas. Melilau sekejapan ke kiri dan kanan. Memutar bebola matanya. Tangannya pula menggenggam tangan aku sekuatnya.

Sebaik diterangkan oleh pakcik tersebut, tiba-tiba satu suara yang aku kenali menyahut.

“Kak Ayu. Hiem ada air ni.” Baru aku perasan kelibat Fahrim mendekat. Segera aku capai.

Sebaik mendapat air, pakcik tersebut segera membuka tudungnya. Membacakan sesuatu. Memejam mata rapat. Khusyuk sekali.

Agak lama juga, manakala Zura semakin menggelisah.

“Hhhhheeeeeeerrrrrrggghhhhh….”

“KKKrrrroiiiihhhkkkkkhhhhhhh….”

Semacam ada sesuatu tidak dapat melepasi tenggorok Zura.

“Ingat Allah. Zura, mengucap!!” Hanya itu yang mampu aku katakan. Sebenarnya, aku juga tidak tahu harus bagaimana menghadapi situasi itu. Zura menggeleng, menggelitik badannya.

“Hhhhheeeeeeerrrrrrggghhhhh….”

“KKKrrrroiiiihhhkkkkkhhhhhhh….”

Semakin kuat pula dengusannya. Seperti berdengkur, seperti lembu disembelih.

Aku lihat, pakcik di sebelah telah menyelesaikan bacaan bilamana dia membuka mata, meniupkan ke dalam botol air.

Lalu, dihulurkan kepada aku.

“Bantu dia minum. Semoga dengan izin dan perkenan Allah, dipermudahkan.” Ucap pakcik, seraya menyerahkan botol air kepada aku.

Dalam ketaran tangan menyambutnya, aku angkat sedikit kepala Zura. Dengan bantuan pasukan paramedik juga, aku suakan air di dalam botol ke bibir Zura.

Allahu, bagaikan orang yang benar-benar kehausan, lahap sekali Zura meneguknya. Ada sebahagian yang jatuh mengalir ke bibirnya, basah mengenai tangan aku yang mengampu. Air tersisa bercampur darah, dan seperti ada satu cecair putih susu bersama keluar semula. Hanya sebagai cara dan mungkin asbab sahaja.

Tiba-tiba Zura seolah tersedak!

Serentak itu, pakcik di sebelah aku menarik kain tuala di bahunya yang sedari tadi tidak aku sedari.

Ditadahkan disiring mulut Zura.

“Muntahkan!!!” Agak keras suara pakcik itu menyuruh Zura yang kelihatan tersedak, dan seperti hendak memuntahkan sesuatu kerana pipinya sedikit mengembung. Aku yakin ada benda hendak diluahkan.

“Blluueeekkk….hukkk…hukkk..uweekkkkhh…errkkhhh…..”

Banyak juga. Dengan mata kepala aku sendiri melihat, ada cecair kental seperti susu basi terkeluar bersama lendiran darah, dan air kosong yang diminum Zura.

Peliknya, Zura seolah berasa lega. Walaupun hakikatnya, dia tidak pun berada dalam keadaan yang sepatutnya berasa begitu.

Berselerak bau kembang kantil bersama keluarnya lendiran suau kental yang dimuntahkan Zura. Pelik!

“Ajar dia syahadah…” Bisik pakcik. Aku terkaku. Zura semakin memejam mata. Seolahnya dia tenang sekali hendak ‘pergi’. Tidak seperti tadinya yang sangat menggelisah.

Aku semakin dihujani penyesalan dan air mata tidak tahu hendak berbuat apa.

“Anak… Ikut pakcik…”

Dalam kelopak mata yang semakin memberat, aku lihat Zura terangguk-angguk.

“Asy-ha-du al-laa ilaaha illallah…” Ucap pakcik itu di tepi Zura. Cukup dekat, tetapi tidak menyentuh Zura.

Dalam kepayahan aku lihat bibir Zura bergerak-gerak. Air mata aku tidak pandai berhenti. Esakan pula semakin kuat akun rasakan. Tidak dapat menyembunyikan rasa lagi.

“Wa asy-ha-du anna Muhammadar Rasulullah…..” Sambung pakcik bila melihat Zura semakin berombak dadanya. Pernafasan juga semakin mengendur.

Aku hanya mampu menyebut nama Zura. Itupun hanya bermain dibibir, tidak mampu aku mengeluarkan suara. Berlawanan dengan esakan dan sedu sedan aku. Ada kalangan ahli bantuan perempuan yang memegang bahu aku ketika itu. Namun tidak dapat membawa kekuatan yang aku mahukan dan harapkan.

Perlahan aku melihat, Zura mengatupkan mata. Sedikit menyentak nafas, dan diam. Kaku!

Ketika itu, aku tidak sedar apa-apa lagi. Tiada bunyi suara orang ramai berbisik-bisik. Tiada bunyi kenderaan yang adakalanya membunyikan hon. Tiada bunyi kicauan burung, atau apa juga bunyi yang ada. Hanya rasa kosong!!

Beberapa lama ketika itu, baru aku seolah disedarkan dengan suara pakcik dan beberapa orang sekeliling. Apabila terdengar,

“Inna Lillahi wa inna ilaihi raji’un…”

Barulah aku bagaikan kembali ke alam realiti. Melihat jasad Zura yang terkaku. Namun, seperti tenang sekali rupanya. Walau pada zahirnya, keadaan jasad Zura tidak sepertinya. Maksud aku, ah…sukarnya untuk dijelaskan.

Perlahan, namun dengan sangat bermakna…aku turut melafazkan…

“Inna Lillahi wa inna ilaihi raji’un…”

Damailah kau Zura. Semoga diampunkan segala dosa dan diangkat darjat dan kebaikan ke atas mu sahabatku.

Dalam hati aku mendoakan. Hendak aku sedekahkan al-fatihah, namun seolah kaku pula. Sudahnya, hanya sedu sedan.

Aku bangun, membiarkan pihak yang sepatutnya menguruskan Zura. Polis juga telah tiba. Aku hanya berpeluk tubuh di tepi. Tidak sanggup hendak aku lihat pemandangan di hadapan mata ketika itu.

Kelibat pakcik yang tidak aku kenali, aku lihat cuba membelah lautan manusia yang berkumpul menyaksikan tragedi itu. Baru aku teringat. Belum mengucapkan terima kasih pun.

Segera aku menyusup, mengikuti langkah pakcik tersebut.

“Pakcik…pakcik… ” Aku memanggilnya dari belakang.

“Oh, ya anak. Panggil sahaja Pak Andak.” Ucapnya tenang. Dia rupanya hendak ke belakang sedikit. Mungkin rimas dengan keramaian itu, yang sedikit menyesakkan.

“Pak Andak…” Tutur aku perlahan. Bagaimana hendak aku mulakan bicara agaknya.
Dia mengangguk dan kelihatan bersedia bercakap dengan aku.

“Saya Idayu. Kawannya arwah Zura.” Sebaik menyebut nama Zura, aku tiba-tiba sebak. Menarik nafas, mencari sedikit kekuatan.

“Ya..anak Idayu.” Balasnya. Sedikit tersenyum. Ikhlas sekali.

“Terima kasih Pakcik.. ermm..Pak Andak. Bantu kawan saya tadi.”

“Ermmmm…..”

Tersekat perbualan. Bagaimana aku mahu meneruskan?
Sebenarnya, selain mengucapkan terima kasih, hati aku tertanya.

Siapa dia?

Bagaimana dia tahu akan ‘sesuatu’ yang Zura dan aku ‘pakai’?

“Susuk? Kembang Kantil?” Tanya Pak Andak.

Sedikit melopong mulut. Segera aku tutup bila aku sedari akan kurangnya sopan terhadap pakcik tersebut. Aku hanya mengangguk.

“Pak Andak tengok, lain sekali caranya. Diikutkan, parah. Tapi, nampak payah..” Ucap Pak Andak.

“In shaa allah, nampak lain pengamal susuk tersebut. Pak Andak boleh sedikit-sedikit melihatnya. Dengan izin Allah jua.” Sambung Pak Andak.

“Idayu…” Belum habis Pak Andak bercakap, dan aku seakan terkaku sekali lagi, nama aku diseru.

“Cik Idayu! Mohon ikut kami ya.” Ucap salah seorang anggota polis dan pasukan paramedik. Aku pasti ke hospital terlebih dahulu, dan pastinya soal siasat sedikit sebanyak.

“Baik…baik…” Terangguk-angguk aku.

“Encik juga ya. Mohon untuk beri keterangan.” Pak Andak mengangguk.

“Saya akan menyusul. Jangan risau.” Ucap Pak Andak kepada anggota tersebut.

Manakala aku menaiki kereta Fahrim. Mujurlah anak muda itu, memahami keadaan aku. Dan dengan ikhlas menawarkan bantuan.

Dipendekkan cerita, ketika di hospital dan tiba sahaja keluarga arwah Zura, kami berpelukan dengan emaknya yang aku kenal agak rapat. Pernah juga aku mengikut Zura balik ke kampungnya di Negeri P, ketika bercuti.

Sewaktu menguruskan untuk membawa pulang jenazah Zura ke negeri P, aku disapa oleh Pak Andak.

“Idayu…sempat lagi in shaa allah. Pak Andak tinggal di rumah kedai depan market tu. Kalau perlukan bantuan, jangan segan. Datang saje. Mak Andak kamu pun ada.”

Demikian kata Pak Andak sebelum dia meminta diri untuk pulang. Bahagiannya dan urusannya telah selesai. Manakala aku mengambil keputusan untuk menunggu dan terus mengikut keluarga Zura.

Sampailah di kampung halamannya, aku mengikut terus sehingga selesai pengebumian, di samping ibu yang aku turut gelarkan ‘mak’.

Sehingga majlis tahlil, aku hanya memakai baju sahabatku itu. Dengan keadaan aku yang sehelai sepinggang juga.

Malam itu, ketika aku tidur di bilik mak, sesudah selesai membantu mak, abang adi dan abang Asif, entah bagaimana aku menggelisah. Serba tidak kena.

Panas aku rasakan di seluruh tubuh.

Manakala, tekak berasa haus. Sangat haus. Kering aku rasakan tenggorok aku. Memaksa aku bangun, menuju ke dapur, dan mengogok air. Bukan lagi menggunakan gelas, sebaliknya aku buka pintu peti ais, dan aku ambil sebotol besar air sejuk. Aku gogok.

Habis sebotol, aku ambil lagi sebotol. Lega sedikit. Tetapi, habis sahaja air sejuk itu melalui tekak dan tenggorok aku, aku haus lagi. Aku ambil lagi.

Masuk botol ketiga, aku berhenti menghela nafas. Cuba mengaut sebanyak mungkin rasa lega. Sebaik aku hendak menggogok lagi, suara seseorang menyapa aku.

“Ayu.. Cuti sampai bila?”

Tersentak aku. Mematikan terus hasrat hendak mengogok air sejuk tersebut. Aku berpura mencari gelas, yang tadi pada mulanya aku gunakan.

“Oh, abang Adi. Tak tahu lagi. Ayu rasa, mungkin minta 3 atau 4 hari. Kalau dibenarkan. Kalau tidak pun, Ayu tak kisah. Entahlah abang Adi. Lain rasanya tanpa Zura.”

Serta merta bergenang air mata aku. Setitis jatuh juga.

“Maaf.. Maafkan abang. Kami turut sedih. Tapi sudah suratan Zura begitu. Sedekahkan sahaja untuknya.”

“Elok juga Ayu cuti. Teman kan mak sementara ni. Nanti nak balik sana abang Adi hantarkan. Lagipun nak ambil barang ….” Tersekat suara abang Adi. Aku faham maksudnya.

Dia mahu mengambil barang-barang adiknya., yang tertinggal di rumah sewa kami. Aku angguk.

“Eh, minumlah. Maaf ganggu. Abang pun haus. Tu ke dapur.” Ujarnya lagi.

“Aahh..ye ..ye.. ” Aku tidak berlengah. Membawa sebotol air sejuk, bersama gelas di tangan kiri. Sebenarnya, tidak puas aku hendak minum dengan gelas! Haus!
Panas tekak!!

‘Tak mengapa. Dalam bilik mak, aku gogok je.’ Rancang aku dalam hati. Takkan aku nak gogok depan abang Adi. Malu lah!

Sesampainya di dalam bilik, aku tutup pintu mak, aku gogok sepuasnya. Hampir habis setengah botol lagi baru aku rasa agak kurang rasa kering tekak aku. Kenapa ya?

Panas semacam. Mungkin aku hendak demam. Fikir aku. Terkejut, dengan segala macam perkara hari itu. Ya lah. Mungkin.

Sebelum tidur, aku ke bilik air. Dalam bilik mak, ada bilik air. Ketika aku menunaikan hajat kecil, aku terdengar suara mak menegur.

“Ayu…mandi ke? Pukul berapa ni?” Tanya mak.

Aku diam.

“Wanginya. Tak elok mandi macam ni. Ermm..baru pukul 3.40 ni.” Sambung mak lagi dengan suara yang agak serak. Baru terjaga agaknya.

Aku segera keluar, dan betul tekaan aku. Mak duduk di birai katil.

“Ayu mandi?” Tanya mak.

“Eh, taklah mak. Ermm.. Buang air je mak.” Ujar ku.

“Wanginya. Mak ingat Ayu mandi. Pakai sabun. Tu mak tegur. Bau bunga ni.” Sambung mak lagi.

Berseriau aku bila mendengar mak sebutkan bau bunga!

Apakah?

“Takpelah. Sambung tidur. Mak nak mengaji. Sambung sampai subuh nanti.”

Aku diam dan merebahkan diri. Sebenarnya ada sedikit rasa seram juga bila mak sebut perihal bau bunga!

Aku buang air kecil sahaja.

“Eeehheemmm…hemmm..huk..” Aku mendehem. Ish, panasnya!

Betullah, aku nak demam agaknya. Kering betul tekak ni.

Sepanjang mak mengaji di dalam bilik, aku menggelisah. Mengiring ke kanan, tak lena. Ke kiri juga tak kena. Sudahnya aku hanya melayan perasaan dan curi-curi meneguk air.

Sehinggalah, subuh itu. Semua sanak saudara yang balik, bangun. Mak berehat sahaja di dalam biliknya.

Aku mandi.

Sebaik air mengena ke kulit, aku rasakan menggigil yang luar biasa. Seakan terkena ais.
Serba tidak kena badan aku ketika itu. Cepat-cepat aku keluar.

Siangnya, aku menjenguk ke bilik Zura. Aku pernah tidur di situ. Ada gambarnya, dan gambar aku berpelukan. Aku tatapi, aku usap..

Sahabat!!

Rindunya aku. Menitis air mata. Terkejut aku apabila, tiba-tiba ada satu bau wangi terbit dari belakang. Aku yang ketika itu mendekati almari solek, agak terkejut.

Secara tidak sengaja, aku terpandangkan Wajah dicermin.
Eh, ada jerawat di bawah dagu. Tak cukup rehat ni. 2 biji sekali. Aisshhhh…..

Entah bagaimana, aku seolah melihat kelibat wajah Zura. Tertoleh aku! Terkejut!

Perasaan yang sukar aku gambarkan. Bukan takut, tetapi lebih kepada rasa tidak percaya. Dan RINDU!

Ya, rindu.. Teresak-esak aku bila ternyata hanya mainan perasaan.
.
.
.
.
.

Advertisements

2 thoughts on “[Cerita Mdm Yui] Susuk Part IV

Add yours

  1. What’s Taking place i am new to this, I
    stumbled upon this I have discovered It absolutely helpful and it
    has aided me out loads. I’m hoping to contribute & help different users like its aided me.

    Great job.

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: