[Cerita Mdm Yui] Susuk Part V (5)

Cerita asal dipetik daripada facebook rasmi Mdm Yui #ceritasatumalam

#stockmerindingbacaanberteman – #SUSUK

Episod 5

Esakan aku berkesudahan dengan ngongoian yang tiada bertepian. Aku semacam berasa satu kehilangan yang sangat mendalam.

Kosong!

Ruang kesepian yang tiada bertepian. Zura telah pergi, namun pemergiannya dengan cara yang sebegitu sadis.

Ketika pusara Zura aku tinggalkan, ada semacam getaran halus menyengat ke dalam hati aku. Entah kenapa atau apa puncanya aku tidak tahu.

Pilu!

“Zura… Mari nak..” Panggilan mak mengembalikan aku ke alam nyata. Agak lama aku berteleku di hadapan cermin solek dan bilik yang pernah kami kongsikan dahulu. Ini baru di ruang rumahnya, bagaimana pula hendak aku hadapi situasi di rumah sewa kami nanti?

“Mak… ayu mak… ” Aku mengingatkan mak, bilamana aku terdengar dia memanggil aku dengan nama Zura.

“Allahuakbar.. Ayu….” Lambt sekali mak menuturkannya. Aku tahu mak dihambat rasa sedih dan pilu. Sudahlah Zura satu-satunya anak perempuan dalam keluarga itu.

Aku angguk dan merapati mak.

“Mak.. Ayu ada. Ayu pun anggap mak, macam mak Ayu sendiri. Mak jangan sedih ye mak.”

Aku berusaha memujuk mak yang ketika itu sudah pun teresak kecil.

“Mak…hukkk…uhukkk.”

Baru aku hendak berbual lagi, terasa pula tekak bagai kesat. Sekesat kertas pasir. Melekat. Kering!

Ish..kenapa ni?

“Uhukkk..hukkkm..hhukkk…”

Aku terus batuk-batuk.

“Ish…kenapa ni Ayu?! Meh minum air.”

Mak menyeru nama aku agak cemas. Teruk benar bunyi aku batuk. Gatal teruk!

Tekak rasa kering!!

Aku minum, minum dan minum. Tidak juga berkurang batuk aku.

Sehinggalah ke tengahari itu, batuk aku semakin menjadi-jadi. Suara tidak keluar. Habis macam ratu rock.

Selepas makan tengahari, mak memanggil abang Adi.

“Adi.. Bawa si Ayu ke klinik. Batuk teruk juga ni nampaknya.”

“Nanti lepas tu, beli sekali barang dan lauk basah. Buat kenduri malam ni.”

Mak menyarankan pelan untuk tengahari itu. Aku dan abang Adi hampir serentak mengangguk. Manakan tidak, untuk aku sendiri berasa sangat perit batuk dan tekak. Elok juga aku ke doktor.

“Cik Idayu. Agak teruk juga tekak awak. Macam ulcer ni.”
Ucap doktor Jarveet. Aku sempat membaca tanda namanya.

“Eeehheemmm…hukk..hukkk… Doktor.. Ada ubat tak?”

Dengan agak payah aku mengeluarkan suara.

“Buat masa ni…saya beri awak ubat untuk hisap, ubat batuk, antibiotik.” Jelasnya.

“Pastikan habis ya dalam masa 5 hari untuk antibiotik.” Sambung doktor lagi.

Aku tidak menjawab, hanya mengangguk. Tanda menerima dan memahami arahan yang diberikan oleh doktor Jarveet.

Usai urusan di klinik, aku menemani abang Adi ke pasar basah berhampiran bandar K. Membeli barangan seperti mana yang telah dibincangkan.

Entah kenapa, aku berasa sedikit ngilu di bahagian pipi dan hujung hidung. Semacam ada beberapa lagi butir jerawat hendak menukul.

‘Aih, hampir datang bulan kot.’

‘Macam-macam lah. Takpe..nanti nak minta abang Adi singgahkan ke pasaraya mini. Beli siap-siap.’

Dalam hati aku terdetik. Aku raba hujung hidung. Ya, ada sedikit nyeri. Ngilu. Dan sakit-sakit gatal. Jerawat. Begitu juga di pipi.

Masuk ke dalam kereta, aku segera menurunkan cermin di bahagian pelindung sebelah penumpang. Memang ada jerawat mula memerah.

‘Ermm.. Nak picit lah yang kat dagu ni. Masak dah!!!’

“Tuss.. Ptuss…” Merecik nanah bercampur sedikit darah. Aku kesat dengan tisu. 2 butir aku ‘letup’kan..

“Huii…geramnyaaa tengok!!” Sapa abang Adi.

Merona pipi aku kemerahan. Malunya!

“Abaang Adi.. Sorry…huk..uhukk..”
Menunduk aku. Segan bila perlakuan aku diperhatikan. Walau telah biasa juga aku dengan keluarga arwah Zura, namun bila kelakuan kurang sopan begitu malu juga.

“Eh..okay je.. Abang pun geram kalau jerawat masak ni!!”

“Hahahaha… Siaplah!” Tawa abang Adi menerangkan duduk perkara sebenar. Bahawanya dia juga sering memicit jerawat sepertimana aku. Puas katanya!

Kami meneruskan perjalanan pulang ke rumah. Badan aku berasa seram sejuk! Sebaik mengalas perut, aku telan ubat. Lega sedikit rasa gatal yang rasanya mengeruit dalam tenggorok ni.

Sesampai di rumah, para saudara terdekat bersama-sama menyiapkan bahan masakan. Untuk disedekahkan kepada para jemputan, ahli jemaah surau berhampiran untuk bacaan tahlil dan doa khusus buat arwah Zura malam kedua itu nanti.

Aku turut sama membantu. Walau batuk masih bersisa.

“Ni…Ayu.. Makan nanas ni. Elok untuk batuk ni.” Ujar Mak Long Senah.

Tanpa ragu aku menyambut hulurannya. Nanas sepotong, diletakkan sedikit garam, aku suapkan ke mulut.

Sebaik mengunyah dan menelannya, aku tiba-tiba menjerit!!

“Aaarrrrhhh…saaakiittt….!! Air!!”

Selantangnya aku meluahkan rasa. Terkejut Mak Long Senah bila melihat aku memegang batang tengkuk. Seakan tercekik. Padahalnya, aku rasakan seolah aku tertelan paku!

Mencucuk, pedih. Perit. Sakit yang sukar hendak aku jelaskan.

Nanas!!!

‘Habislah!! Aku termakan nanas. Kenapa aku tidak perasan!!!’ Jerit aku dalam hati. Tangan terus mengelus tengkuk yang aku rasakan memanas. Menggelitik rasanya hendak aku muntahkan.

Aku bingkas berdiri, menyambut dan meneguk huluran segelas air dari tangan mak. Selepas itu, menggelodak rasa dalam perut. Ada sesuatu hendak aku muntahkan. Terkocoh aku berlari. Mengejar tandas rumah, yang ketika itu aku rasakan jauh benar!!

Terdengar mak menjelaskan kepada Mak Long Senah, dan beberapa saudara lain yang kelihatan terpinga-pinga.

“Ke klinik tadi. Ulcer kata doktor. Panas dalam agaknya!” Itu sahaja aku dengari sebelum aku sampai ke pintu bilik mak. Sebaik pintu bilik air aku rempuh, aku memuntahkan isi perut yang rasanya bergejolak.

Membuntang mata aku, apabila yang keluar dari mulut…adalah lendiran putih seperti susu, bercampur dengan nanas dan sedikit darah.

Bau pula hamis, bercampur dengan sedikit aroma bunga kantil.

Ada beberapa ketulan nanas yang terkeluar. Belum pun terhadam aku kira. Ketulan kecil nanas itu, Diselaputi lendir tersebut. Terkejut alang kepalang aku dibuatnya.

Apakah yang akan terjadi?

Aku perlu berjumpa wak nanti. Wak kata, padah menimpa andai terlanggar pantangnya.

Menggeletar aku. Sejuk kaki dan tangan. Terus aku siram dan meninggalkan bilik air. Sekejapan terasa berpusing kepala, sekejap gelap, sekejap rasa terawang-awang, hendak pitam. Manakala tekak bagai dicarik-carik oleh kuku tajam rasanya. Perut memulas.

Aku terus mendekati katil mak. Duduk sekejap cuba mengembalikan kenormalan diri. Aku menunduk, memegang perut yang masih berkelodak. Bagai pusingan mesin basuh aku rasakan. Dengan ketara di jari, aku pegang tekak dengan tangan satu lagi, dan memejam mata..

Korang, seperti bayangan bersilih ganti, baru aku tersedar!!

Kesilapan pertama aku, pantang telah aku langgar!!

TANAH KUBURAN!!

Aku TIDAK BOLEH menghampiri apatah lagi memegang tanah kuburan.
Ya, itulah yang aku telah lakukan. Patutlah tekak aku rasa panas!! Susuk!!

Sewaktu pengebumian Zura, bukan sahaja aku menghampiri, menginjak, malah aku turut memegang butiran tanah yang telah aku taburkan ke dalam liang lahad.

Aaahhh!!! Bercelaru fikiran aku..

Kedua, aku MAKAN NANAS! hari apa ni?

25.5..tarikh lahir aku! Hari ini?

Seraya mencapai telefon. Ada reminder di situ. Ya, dalam rancangan aku dan Zura dahulu, kami ingin meraikannya di Genting Highlands!

Namun, aturan Allah mengatasi segalanya. Semalam kau meninggalkan aku Zura, sehingga terlupa aku akan perancangan kita.

Sejuk pipi dihujani air mata. Bukan sahaja kerana kenangan dan hasrat tidak kesampaian, malah kerana peritnya balasan yang terpaksa aku terima.

Hari itu, tragedi berlaku buat aku. Tidak mungkin aku lupakan.

Tidak semena-mena, suaraku hilang habis. Batuk pula tidak pandai berhenti, bersambung-sambungan. Sakitnya, jangan ditanya. Bila aku melihat cermin, semakin banyak jerawat memerah di serata wajah.

Aku kembali berbaring di katil apabila berasa kepala berdenyut. Semakin kuat.

Entah bila masanya aku terlelap, hidung aku tiba-tiba menangkap bau kemenyan dan kembang kantil bersiliran mengikut angin. Menyedarkan aku dari tidur di petang itu.

Di sebelah aku, terasa ada sesuatu memberat.

“Mak…..” Perlahan dan hampir tidak keluar suara aku. .
Aku sangkakan mak duduk melepas penat. Atau mak, melihat keadaan aku.

Semakin aku meraih segar. Semakin kuat pula bau kembang kantil dan kemenyan menusuk ke rongga hidung. Pening aku rasakan menyucuk kepala…perlahan-lahan aku buka mata.

Aku lihat siling bilik rumah mak. Aku toleh ke kiri, kosong. Pintu bilik air sedikit terbuka. Ermm.. Mak ni..

Perlahan-lahan aku menoleh ke kanan. .

“Maakk…” Aku panggil bila aku lihat ada sesusuk tubuh duduk membelakangi aku. Dalam keadaan separa mamai, kepala berdenyut dengan bauan yang semakin kuat aromanya, aku cuba memanggil lagi…

“Maaakk….” Kali ini sedikit keras dan kuat. Walaupun peritnya tekak ini, sehingga berkerut dahi dan merenek peluh. Mak masih diam. Bilik pula aku rasakan membahang semacam. Siapa yang mematikan kipas?

Aku jeling ke arah kipas meja bilik mak.

Eh, elok menyala!!

Aku kembali melihat ke arah mak.

Kenapa aku rasakan lain sekali mak? Rambut panjang, mengurai?

Mak selalu menyanggul rambutnya. Belum pernah mak aku lihat melepaskan sebegitu. Panjang pula tidaklah sehingga menyentuh pinggul. Rambut mak ada uban. Tetapi, yang ini… Hitam berkilat!!
Hati berdegup semakin kencang. Tidak keruan.

“Mm..aaakkkk…” Aku memanggil kesekian kalinya, dengan sisa suara yang ada.

“Hhheeeerrrmmmmmmmmmm….. Heeeeeheeeeeehhhhhheeeeeeeee” Suara yang keluar agak garau. Kepala pula bergoyang, ke kanan ke kiri. Ke kanan, kiri. Semakin lama, aku perhatikan semakin kuat. Aku ketika itu menegak dari separas dada ke kepala.

Menggeletar aku.

“Hheeerrrrrrgghhhhhhhhh…..” Suara itu kembali menderam. Tiba-tiba menyendeng tubuhnya memusing. Aku pula seakan dipasung! Kaki dan tangan tidak dapat bergerak. Hanya kepala sahaja menoleh lagi ke arah sosok itu.

“Maaaaaaaakkkkkkkkkkkk…..kkhhhhhuuukkkk…hukkkk!!!!!”

Bagaikan mahu pecah kerongkong aku menjerit rasanya. Sehabis daya aku mengeluarkan suara. Sehingga hilang akhirnya.

Gila!

Sosok ini aku tidak kenali. Hampir muntah aku, apabila melihat raut wajah aku sendiri pada sosok itu. Namun, keadaannya mengerikan.

Hitam seperti hangus terbakar. Berlubang-lubang daging wajah, dengan lendiran darah dan nanah mengalir. Berbau busuk amat, seperti bangkai.

Di tenggoroknya, ada semacam asap terbakar.. Daging hampir meluruh..

Ya Allah!!!!

“Jangaaaaannn…..aku tak mahu!!!! Pergggiiiiiii……..!!!” Raung aku.

Seolah di hadapan aku kini, bayangan diri aku sendiri.

“Ayu…Ayu… Ya Allah…kenapa ni nak?”

Tidak lama, telinga aku menangkap suara mak dan beberapa orang saudara mara lain menerpa. Aku ketika itu masih meraung-raung, dengan mata terpejam rapat. Suara tiada lagi bersisa.

“Hukkk…..uhukkk….hukkkk…heerrghhhh!” Aku tersedak dan terbatuk-batuk. Setompok darah bercampur lendir keputihan tersembur dari mulut aku. Semua yang memandang, menggumam.

“Astarghfirullahalazim… Ayu..kenapa ni…?” Tanya mak cemas.

“Adi….Adddiiii… Mari sini nak. Bawa Ayu ke hospital!!” Jerit mak lagi.

Aku hanya menggeleng. Tidak!
Doktor tidak dapat menyembuhkan aku. Ini kerana tulah melanggar pantang susuk kembang kantil. Aku yakin!!

Tuhan balas perbuatan aku. Menggeletar aku. Payah hendak aku ungkapkan.

“Tak mak..bukan hospital. Tolong Ayuuu…” Aku mengongoi.. Suara antara dengar dengan tidak sahaja. Seperti bunyi itik serati di sebelih.

Mak tercengang. Takkan aku tak mahu ke hospital dengan keadaan begini? Sekonyongan muncul bau kembang kantil. Aku yakin.

Semua di situ menekup hidung bila baunya semakin kuat dan menyelerak. Aku jeling ke sebelah kiri. Bayangan sosok dengan rupa seperti aku tiada sedari tadi. Tertinggal hanya beberapa kuntum kembang kantil di situ.

Bungkam aku. Esakan semakin menghenjut kuat perasaan. Aku raih tangan mak.

“Maaakkk… Tolong Ayu. Carikan ustaz mak…”

Mak berkerut dahi. Ustaz? Mungkin mak pelik. Namun hanya aku yang tahu mengapa.

“Along, bawa je Ayu jumpa Ustaz Kamal. Dia tahu kenapa ni.”

Tiba-tiba satu suara yang agak tidak banyak bercakap mengajukan pendapatnya

Abang Asif.

Aku menoleh ke arah suara itu. Kelihatan Abang Asif berwajah serius. Dengan songkok di kepala, abang Asif memang warak orangnya.

“Eh, kenapa Sif?” Tanya Abang Adi kembali.

Tenang raut wajah abang Asif. Cuma aku tidak mampu bertentangan mata dengannya. Seakan ada satu aura menyilau di pandangan aku. Aku jadi menggelepar, tidak senang duduk.

“Ustaz Kamal boleh ‘buangkan’. Ada benda dia tanam ni. Sama macam arwah Zura. Mujur sempat dikeluarkan.”

Bisikan abang Asif agak kuat menampar gegendang telinga aku. Mujurlah ketika itu, sanak saudara telah mula bersurai.

Mendengarkan omongan abang Asif, mak menangis.

“Ayu… Ya Allah.. Apa yang kamu buat ni nak?” Mak mengongoi.

“Erm.. Sekejap lagi siap. Kita bawa dia Sif. Segan pula aku dengan ustaz Kamal.” Suara abang Adi agak keras. Mungkin mereka kesal dengan apa yang telah aku dan Zura perbuat.

Aku ketika itu serba tidak kena. Hendak menelan air liur juga aku tidak mampu.

“Jom, cari barang-barangnya. Kena siap bawa ke ustaz Kamal. Asbab sahaja, tetapi kena lengkap. Jika tidak agak payah.”

“Dalam badan dia dah teruk, sebab terlanggar pantang ni.” Ujar abang Asif lagi.

Aku merasakan kesat sungguh tekak ketika ini. Hendak menidakkan, rasa takut terlanggar pantang semakin membuai. Apatah terbayang akan sosok yang menjelma tadi. Aku hanya berkerut dahi menahan rasa. Ditambah dengan esakan mak.

“Mak..maafkan ayu..Zura…” Hanya gerakan bibir aku hantar kepada emak, lantaran suara tiada lagi. Memang tidak keluar. Setiap kali aku hendak bercakap, terasa-rasa lendir bercampur aroma kembang kantil menjolok-jolok tekak.

Meloya!

Mak hanya mengangguk dan mengusap dahi aku. Aku tahu, mak ada menyimpan rasa terkilan. Dapat aku huraikan dari aluran kedut wajah mak menahan sedih.

Aku apa lagi? Bertambah rasa menghimpit jiwa. Keluarga aku pun tidak mengambil berat sebagaimana mereka. Terharu aku. Sungguh!!!
Zura, terima kasih kerana menghandirkan rasa ini.

Selepas asar aku dibawa ke rumah seorang tua yang bernama ustaz Kamal. Ketika itu, abang Asif turut menemani. Pada aku, keberadaan abang Asif kerana mahu menerangkan kepada ustaz agaknya.

Ketika sampai, salam diberi. Aku lihat di tangan abang Asif ada 3 biji limau purut. Daun keladi, dan beberapa bahan lain yang biarlah aku rahsiakan.

Aku hanya menuruti. Duduk bersimpuh berhadapan dengan ustaz Kamal. Disisinya ada seorang wanita sebaya mak aku rasa. Turut bersimpuh. Dihadapannya ada dulang, dan di dalam dulang ada segelas air kosong, juga kain putih dilapikkan.

Aku seram sejuk. Entah apa agaknya akan dilakukan kepada aku, atau apa yang akan berlaku kepada aku.

“Assalamualaikum ustaz. Ni saya bawakan anak angkat mak, kawan kepada arwah ke sini…”

“Ada barang dalam badan dia ustaz. Itu apa yang saya rasa. Sebab tadi lain macam benar dia di rumah.” Kata abang Asif.

Abang Adi hanya mengangguk sahaja mengiakan. Ustaz Kamal hanya beriak tenang. Dia seperti seorang yang sedang berwirid. Hanya mengangguk beberapa kali.

Bila dia menoleh ke arah isterinya, segera air di dalam gelas dihulurkan.

Ustaz Kamal aku lihat membacakan sesuatu. Caranya lebih kurang Pak Andak ketika membantu Zura tempoh hari. Cuma ketika itu, aku tidak berapa mendengar suarnya. Berbeza dengan ustaz Kamal, dia berwirid dengan sangat tenang, jelas dan intonasinya menyebut satu persatu ayat Allah sangat terang.

“Subhanallah wa bihamdihi.”

Diulang-ulang. Hampir 100 kali aku kira. Manakala aku pula ketika itu, merasakan diri sangat sakit. Berbisa seluruh tubuh. Abang Asif dan abang Adi turut mengucapkannya.

Aku cuba mengikutnya, tetapi berasa kebas lidah. Kerongkong juga kesat sekali.

Sehabisnya ayat itu diulangi, ustaz Kamal menyuakan kembali kepada si isteri. Seketika kemudian, isteri ustaz Kamal mendekati aku. Menghulurkan gelas itu. Aku tidak tahu harus berbuat apa.

Fikiran seolah kosong. Aku hanya memegang gelas di tangan, terketar-ketar.

Lalu, dengan bantuan oleh isteri ustaz Kamal, aku meneguk air di dalam gelas itu. Sejuk!!!!

Benar seperti aku meminum air yang berisi ais. Tetapi, pada hakikatnya hanya air kosong biasa. Lega sungguh tekak aku. Dapat aku rasakan kesejukan itu mengalir dari tekak, kerongkong, dan menuruni salur sehingga ke perut sejuknya.

Memejam mata aku. Seolahnya inilah minuman paling segar dan paling nikmat pernah aku gogok.

Sehabisnya air itu aku minum. Aku letakkan kembali gelas ke talam. Tiba-tiba, ustaz Kamal beralih sila berdepan dengan aku. Aku agak cemas.

Dengan tenang dan cermat teratur, ustaz Kamal mengambil kain di bahu kanannya, dilipat sedikit, lalu di libas lembut, mengena tepat ke belakang badan. Dalam 3 kali ustaz melibas kain di belakang badan aku.

Tidak semena-mena aku rasa pening. Dapat aku rasakan air sejuk tadi membolak balik dan bergelumang di dalam perut. Sesuatu yang agak pelik. Ada sesuatu menjolok anak tekak aku. Meloyakan.

Berkerut dahi aku menahan rasa.

Sepasang tangan lain melurut di belakang, dimulakan dengan pinggang sehingga ke atas, berhenti tepat di batang leher aku. Bila aku jeling, membuka mata, aku lihat tangan isteri ustaz Kamal yang melurut.

Kali kedua dilurutkan, dari pinggang ke atas menyongsang, aku semakin meloya.

Aku pandang isteri ustaz. Mohon memahami rasa yang aku tahan.

“Muntahkan aje nak. Muntahkan.”

Mengangguk-angguk dia mengizinkan aku Melampiaskan rasa yang terlalu sangat hendak aku luahkan.

“Muntahkan dalam dulang. Dekat lapik putih tu.” Lembut sekali arahannya. Sejuk hati aku yang digayut rasa cemas sedari tadi.

“Uweeekkk…. Bllekkkkk..uweeekkk…”

Semahunya aku cuba mengeluarkan.

Kosong. Hanya angin dan aroma kembang kantil yang melalui tenggorok. Semakin meloyakan aku.

Dilurut lagi oleh isteri ustaz.

“Uweeekkk…. Bllekkkkk..uweeekkk…”

Kali ini, semacam satu lendiran kental berjalan keluar dari perut, melalui tenggorok, anak tekak dan akhirnya terkeluar. Terkejut aku, selonggok besar lendiran kental seperti susu bertumpahan di atas kain putih.

Kali ketiga, begitu juga. Peritnya Allah sahaja yang tahu. Sakit semua badan aku. Perut rasa mengecut.

Kemudian aku muntah lagi. Kali ini agak kejernihan. Cuma ada darah membungkal hitam mengikut keluar.

Muntah lagi. Dan lagi, sehingga akhirnya keluar seperti air kosong tadi semula. Cair dan jernih.

Namun, satu rasa lega segera menerpa. Rasa ringan perut aku. Tenggorok rasa lega, seleganya. Cuma sakit sedikit.

Kemudian, ustaz memotong sebiji limau. Memerahkan ke dalam gelas air lain, menyuakan kepada aku.

“Dengan lafaz bismillah…” Ujarnya.

Aku sambut piring yang melapik gelas tersebut. Sesudah membaca bismillah, aku teguk. Kali ini, lebih melegakan. Aku rasakan tekak aku kosong dan sedap sekali. Baru aku dapat merasakan nikmatnya air kosong.

“Alhamdulillah. Dapat keluarkan. Tetapi, anak kena bermalam di sini. Mandi, bilas bisa.”

“Paling tidak 3 malam. Ada beberapa perkara lagi perlu saya uruskan.”

“Jangan bimbang, anak saya ada. Isteri juga ada.” Ujar ustaz. Seolah memahami perasaan aku. Aku mengangguk sahaja.

“Asbab sahaja semua barang yang digunakan. Selebihnya, dengan izin Allah menyempurnakan dan memperkenankan usaha kita.”

Dipendekkan cerita, maghrib itu aku ditemani oleh isteri ustaz yang aku kenali sebagai Mak su Peah, yang memandikan air limau. Membilas bisa dibadan khabarnya.

Kami berjemaah bersama. Sesudah usai mengerjakan solat, aku menangis semahunya. Berasa jauh tersesat!! Aku cukup mengesali khilaf aku. Dengan bantuan ustaz Kamal, aku diminta melafazkan syahadah semula.

Sesudah itu, tumpah air mata aku. Tidak lagi aku rasa malu, segan mengongoi seperti budak kecil. Pada aku, rasa menyesal itu lebih mendalam. Akhirnya aku lega didalam pelukan maksu Peah.

Malam itu. Aku diminta mendirikan solat sunat taubat di sepertiga malam. Memohon keampunan seikhlasnya kepada Allah.

Dalam 3 hari aku diberikan perawatan. Rupanya membuang bisa susuk tidak semudah yang disangka. Hati perlu kuat. Namun, aku lega.

Rezeki aku. Di kampung halaman arwah Zura menerima rawatan.

Disingkatkan, kembali ke rumah mak. Aku memohon ampun dan maaf kepada seluruh ahli keluarga Zura. Aku menelefon mak dan adik beradik aku, juga memohon maaf, walau aku diperli mengatakan aku berdrama apa pula kali ini. Aku biarkan. Aku maafkan sahaja. Pesan ustaz begitu.

Oh ya, selama di rumah ustaz Kamal, aku turut berterus teramg tentang Hasimah dan Aira.

Aku diminta memohon maaf kepada mereka. Sebaik segala urusan selesai, aku mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Mencari rezeki ditempat lain. Memulakan hidup baru. Lagi pula, tidak sanggup aku di situ lagi. Terlalu banyak kenangan suka duka aku bersama arwah Zura. Sukar untuk aku melupakan.

Kepada Hasimah dan Aira aku memohon maaf, dan memaafkan segala kesalahan mereka. Turut aku sampaikan salam maaf Zura kepada mereka. Alhamdulillah, mereka juga telah insaf dan menyedari kesilapan mereka. Mereka juga mengakui kesilapan dan kelancangan mulut mereka membawa padah. Bertangisan kami. Berpelukan.

Kepada Isma turut aku meminta maaf. Juga kepada Hadi. Aku mengakui segala khilaf aku. Isma akhirnya mengakui, dia turut menyimpan sedikit rasa kepada aku. Bukan kerana paras rupa.

Namun dengan baik, aku tolak. Aku katakan biarlah masa menentukan segalanya. Mujur difahami oleh Isma.

Kepada emak, adik beradik, aku mohon kemaafan dan keizinan untuk merantau ke kampung halaman Zura. Tiada halangan pada mereka. Ya lah, aku memahami.

Akhirnya, aku berkelana ke negeri P, tanah kelahiran Zura. Aku mengisi ruang kosong keluarga Zura. Rasa sangat menyenangkan. Walau rindu kepadanya memagut rasa.

Aku mendekatkan diri kepada Allah, mengikuti program secara sihat, menjaga rutin kecantikan. Dalam masa itu, aku menerima lamaran dari salah seorang keluarga Zura. Mak menyetujui. Perkahwinan kami diadakan dengan cukup meriah.

Mengejutkan, bukan dari abang Adi. Tetapi dari abang Asif sendiri. Lama sudah dia memendam perasaan katanya. Cuma tiada keberanian.

Alhamdulillah, Allah hadirkan seseorang yang menerima diri aku seadanya. Sementara itu, program kesihatan juga mendatangkan kesan, aku semakin yakin diri. Bukan kerana susuk!

.
.
.
.
.
.
.
Tamat sudah #SUSUK. Ambillah pengajaran. Benarlah, “Kerana mulut , badan binasa.”

Namun, perkuatkan jiwa dan raga. Kebergantungan kepada Allah sahaja. Moga kita semua dilindungi. Semoga terhibur. Pada mulanya hanya #SERPEN aku sangkakan. Rupanya sehingga Episod 5. Korang like dan share. Kalau sendu, mak merajuk. Sok mak hide story. Baru padan muka. Hahahaha

3 thoughts on “[Cerita Mdm Yui] Susuk Part V (5)

  1. Hi there just wanted to give you a quick heads up. The text in your article seem to
    be running off the screen in Firefox. I’m not sure if this is a formatting issue or something to do with internet browser
    compatibility but I thought I’d post to let you know.

    The layout look great though! Hope you get the problem solved soon. Kudos I visited various sites except the audio quality for audio
    songs current at this web page is actually excellent. I am sure this post has touched all the internet users, its really
    really nice paragraph on building up new website. http://www.cspan.net

    Like

  2. Fascinating blog! Is your theme custom made or did you download it from somewhere?
    A design like yours with a few simple tweeks would really make my blog shine.
    Please let me know where you got your design. Bless you http://www.google.de

    Like

Leave a comment