Segala Puji Bagi Allah, Tuhan Yang Maha Bijaksana,
artikel yang akan kalian baca ini lebih kepada pengalaman persendirian penulis. ya lah, lautan mana yang tak bergelora, bumi mana yang tak ditimpa hujan atau bencana, begitu lah juga hidup kita tidak sunyi daripada ujian dan rencana dari YANG MAHA ESA.
masa-masa kejatuhan dalam kerjaya, dalam personal life, dalam kehidupan berkeluarga. semuanya seakan hilang. semuanya sudah hancur musnah. pada masa itu, kita cuma ada semata-mata sekeping hati dan ALLAH SWT.
maka dari situ hati mula mendekatkan diri dengan ALLAH SWT dan mencuba pelbagai amalan sunat untuk merawat hati. setiap orang mungkin punya cara berbeza, tapi bagi saya, setiap kali dalam kebingungan, saya suka amalkan solat sunat taubat dua rakaat.
personally (ini pengistilahan secara peribadi), saya namakan solat sunat taubat ini sebagai amalan pembuka jalan. jikalau dalam keresahan, kebuntuan, solat sunat taubat dua rakaat ini mampu melapangkan dada saya, menjadikan saya seorang yang redha, bertawakkal penuh pada ALLAH SWT dan membukakan jalan-jalan penyelesaian terhadap apa jua permasaalahan saya dari arah yang tak disangka-sangka.
Tetapi saya juga ingin mengingatkan kita semua, buat solat sunat taubat ini pastikan hati kita ikhlas dan benar-benar ingin mengakui dosa dan meminta pertolongan, bukan semata untuk keluar dari masalah, bila dah dibantu, kita kembali melakukan dosa dan maksiat. tak mau macam tu ya. ia akan mengundang murka ALLAH SWT bahkan hidup akan menjadi lebih sempit pula nanti.
Apakah antara kelebihan solat sunat taubat?
1. Diampunkan Allah SWT.
2. Dimudahkan segala urusan.
3. Menceriakan kehidupan seharian.
4. Menghilangkan perasaan yang menekan.
5. Mencegah dosa dan menghindari gangguan.
Bilakah waktu yang sesuai mendirikan solat sunat taubat?
Tidak ada masa yang ditetapkan. Yang bermakna, solat Sunat Taubat boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja pada waktu yang dibolehkan untuk solat.
Bilakah waktu yang dilarang (tidak boleh) melaksanakan sebarang solat sunat?
Fuqaha Syafi’iyah berpendapat bahawa makruh tahrim hukumnya melaksanakan sembahyang sunat tanpa sebab, dan sembahyang itu dipandang tidak sah jika dilakukan dalam lima waktu berikut:
1. Selepas sembahyang Subuh yang dilaksanakan secara tunai (bukan sembahyang qadha’), hingga matahari menyingsing sepenggalah.
2. Ketika matahari terbit hingga menyingsing seperti galah.
3. Selepas melakukan sembahyang Asar yang dilaksanakan secara tunai sekalipun ia dijamak dengan Zuhur pada waktu Zuhur (jamak taqdim).
4. Ketika matahari berwarna kuning, hingga terbenam seluruhnya.
5. Ketika matahari benar-benar berada di atas kepala (di tengah-tengah langit) hingga gelincir ke Barat. Kecuali waktu Istiwa’ (matahari berada di tengah-tengah langit pada hari Jumaat.
Bagaimanakah melaksanakan solat sunat taubat dua rakaat?
1. Mengambil wuduk dengan sempurna.
Hal ini kerana, berdasarkan maksud bersuci di atas, saya lebih cenderung ulama yang membahaskan bahawa bersuci itu bermaksud berwuduk dengan sempurna. Kerana seperti yang kita tahu, berwuduk adalah suatu perkara yang perlu dilakukan sebelum bersolat.
2. Lafaz Niat Solat Taubat.
Sahaja Aku solat sunat taubat 2 rakaat kerana Allah SWT.
3. Bacaan surah selepas al-Fatihah, digalakkan membaca surah ini:
Rakaat pertama: Surah Al-Kafirun
Rakaat kedua: Surah Al-Ikhlas
4. Beristighfar kepada Allah S.W.T
Akhir sekali, sesudah solat 2 rakaat, perbanyakkan beristighfar kepada Allah dan semoga Allah mengampunkan dan menerima taubat kita semua. Insya Allah. Sebagaimana firman Allah:
وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ
Maksudnya: Dan mereka itu apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri mereka, maka mereka mengingati Allah lalu beristighfar ke atas dosa-dosa mereka. Dan siapakah yang mengampunkan dosa selain Allah. Serta mereka tidak berterusan terhadap apa yang telah mereka lakukan dalam keadaan mereka mengetahui.
Istighfar-Istighfar
1. 100 kali
أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ
Aku memohon keampunan Allah yang Maha Besar, tiada Tuhan melainkan Allah, Dialah yang Maha Hidup, Maha berdiri sendiri dan aku bertaubat kepadaNya.
2. Tiada had
لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ الْعَظِيمِ
Tiada keupayaan (untuk mentaati perintahMu) dan tiada kekuatan (untuk menjauhi laranganMu) melainkan dengan keizinan Allah yang Maha Besar.
3. Ataupun dengan istighfar dan taubat yang ringkas ini
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَتُبْ عَلَيَّ
Ya Allah, ampunilah aku dan terimalah taubatku.
Saiyyidul Istighfar / Penghulu IStighfar:
Ya Allah! Dikaulah Tuhanku, Tiada Tuhan melainkan Dikau; Dikau yang menciptakan daku dan daku adalah hamba-Mu. Dan sedaya mampuku, daku berpegang dengan janji dan sumpah setiaku terhadap-Mu. Daku memohon perlindungan-Mu daripada segala kejahatan yang telah dilakukan; Daku mengakui akan segala nikmat yang Dikau berikan kepadaku dan daku mengakui akan dosa-dosaku. Maka ampunilah daku kerana tiada yang mengampuni dosa-dosa kecuali Dikau.
Doa Taubat
Daku memohon ampun kepada Allah, Daku mohon ampun kepada Allah, Daku mohon ampun kepada Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Hidup Lagi Maha Mengurus!
Daku bertaubat kepada-Nya selaku taubatnya seorang hamba yang banyak dosa yang tidak berdaya untuk menolak mudharat atau berbuat manfaat dan tidak mampu mematikan atau menghidupkan mahupun membangkitkan (di Padang Mahsyar kelak).
Daku mohon perlindungan-Mu daripada dosa, kemalasan, dugaan kubur dan seksanya. Daku mohon perlindungan-Mu daripada segala kesalahan dan hukuman.
Ya Allah! Bersihkanlah diriku daripada dosa-dosa sebagaimana kain putih dibersihkan daripada kekotoran. Ya Allah! Sesungguhnya daku bertaubat kepada-Mu di atas segala dosaku, dan daku berjanji tidak akan mengulanginya.
Ya Allah! Pengampunan-Mu adalah lebih luas daripada dosa-dosaku dan pengampunan-Mu terhadapku adalah lebih tertunai daripada amalan baikku. Ya Allah! Sesungguhnya daku telah banyak sekali menganiaya diriku sendiri, tiada yang dapat mengampuni dosaku itu kecuali Dikau; Maka berikanlah daku keampunan-Mu, kasihanilah daku.
Ya Allah, Ya Tuhanku! Terimalah taubatku, suci bersihkanlah segala dosaku dan kabulkanlah permohonanku. Sesungguhnya Dikau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang!
sumber rujukan: 1. http://malayajournal.com/solat-sunat-taubat/, 2. http://elilhusna.blogspot.com/2012/06/solat-sunat-taubat.html, 3. https://shafiqolbu.wordpress.com/solat-sunat/solat-sunat-taubat/
segala yang baik adalah dari ALLAH SWT, yang buruk itu dari kelemahan saya sendiri sebagai penulis.
One thought on “Kelebihan Menunaikan Solat Sunat Taubat – Jalan Keluar Untuk Segala Kesusahan”